Pusat Pakaian Hari-Hari penaja bersama Liga-M 2021

Ab Ghani (dua, kiri) menunjukkan kontrak perjanjian bersama Pengarah Pusat Pakaian Hari Hari Sdn Bhd, Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim (dua, kanan) pada Majlis Memeterai Perjanjian Penajaan antara MFL dan Pusat Pakaian Hari Hari di Wisma FAM pada Selasa. - Foto Bernama
Ab Ghani (dua, kiri) menunjukkan kontrak perjanjian bersama Pengarah Pusat Pakaian Hari Hari Sdn Bhd, Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim (dua, kanan) pada Majlis Memeterai Perjanjian Penajaan antara MFL dan Pusat Pakaian Hari Hari di Wisma FAM pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan syarikat peruncit fesyen terkemuka tanah air, Pusat Pakaian Hari-Hari (PPHH) menjadi antara penaja bersama Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Majlis menandatangani kontrak penajaan bagi tempoh setahun itu berlangsung hari ini di antara wakil MFL, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan bersama Pengarah PPHH, Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim sambil disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Mohd Ayub serta Pengarah PPHH, Amilludin Latip dan Ketua Penjenamaan PPHH, Kviin Ng di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada Selasa.

Turut hadir adalah Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Mustaza Ahmad dan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar.

PPHH yang telah menaja kelab Liga Premier, Kelantan United FC pada musim ini, menandatangani perjanjian penajaan setahun bersama MFL dan kedua-dua pihak akan berunding kontrak lanjutan pada September depan.

Dengan pengumuman ini, PPHH akan menjadi rakan penaja Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup 2021.

Menurut Ab Ghani, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kedatangan syarikat swasta untuk menaja Liga-M sekali gus dapat memeriahkan lagi industri bola sepak tempatan khusus daripada aspek komersial.

Jelasnya, beliau optimis kehadiran PPHH yang ditubuhkan sejak 1990 dan kini memiliki 85 cawangan di seluruh negara akan membuka pintu kepada lebih banyak syarikat lain yang berminat menaja Liga-M di masa akan datang.

“Slogan kata ‘Hari-Hari’ di antara MFL dan PPHH berkongsi satu misi iaitu marilah kita semua sentiasa menyokong produk tempatan dan bola sepak kita pada setiap hari. Sudah tentu MFL menyambut baik di atas kehadiran PPHH yang menjadi salah satu rakan penaja Liga-M di mana kami yakin PPHH telah membuat keputusan tepat untuk datang komersialkan produk mereka dalam Liga-M.

Artikel Berkaitan:

“Industri bola sepak negara cukup besar dan saya percaya PPHH akan menjadi satu penanda aras terbaik kepada syarikat-syarikat lain untuk tampil menaja Liga-M di mana potensi komersial dalam industri ini cukup besar. Semangat yang ditunjukkan oleh PPHH untuk bersama menyokong Liga Malaysia memberi petanda cukup baik ketika industri bola sepak terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Seperti yang kita lihat sambutan penonton bagi perlawanan Liga Super setakat 24 Mac lalu, lebih 18 juta penonton telah menyaksikan 30 perlawanan Liga Super sama ada menerusi siaran langsung di televisyen dan platform media sosial. Kini kita dapat merasai saingan Liga-M semakin meriah dengan kebenaran kemasukan penonton ke stadium oleh kerajaan bermula 1 April di mana bakal memberikan lebih manfaat kepada penaja-penaja,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam pada itu bagi Amilludin Latip, penajaan PPHH untuk Liga-M 2021 adalah sebagai tanda sokongan syarikat itu dalam menyemarakkan lagi aktiviti sukan khususnya bola sepak tanah air.

“Ini adalah inisiatif Pusat Pakaian Hari-Hari dalam memberikan sumbangan ketika negara dilanda Covid-19 dan diharapkan ianya sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan aktiviti sukan tanah air. Pusat Pakaian Hari-Hari juga melahirkan rasa syukur, walaupun dalam pandemik Covid-19 melanda dunia, Pusat Pakaian Hari-Hari masih mendapat sambutan dan kepercayaan yang baik daripada pelanggan-pelanggan.

“Justeru itu, di atas sokongan yang diberikan oleh pelanggan-pelanggan, PPHH sedang merancang untuk menambah lagi enam cawangan dalam tahun ini dan menjadikan keseluruhan 91 cawangan. Insya-ALLAH, dengan tambahan cawangan PPHH, kita mengharapkan ramai lagi rakyat Malaysia dapat membeli pakaian-pakaian yang berkualiti dengan harga berpatutan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!