80,000 kanak-kanak di Malaysia perlukan penjagaan paliatif: Dr Adham

Dr Adham Baba ketika bersama pengamal media selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama Antara Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Pengangkutan di Kementerian Kesihatan hari ini.
 -Foto Bernama
Dr Adham Baba ketika bersama pengamal media selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama Antara Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Pengangkutan di Kementerian Kesihatan hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-Kira 80,000 atau 0.29 peratus kanak-kanak di Malaysia memerlukan penjagaan paliatif, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, sebanyak 28.5 daripada 10,000 populasi kanak-kanak dari usia 0-18 tahun atau 25,000 ke 30,000 kanak-kanak di negara ini menghidap penyakit kronik atau boleh membawa maut yang memerlukan penjagaan paliatif spesifik.

“Penjagaan paliatif yang spesifik ini termasuklah penjagaan paliatif sepenuh masa, koordinasi dan pengurusan komprehensif antara kumpulan multidisiplin yang merawat serta memberi sokongan kepada ahli keluarga untuk menghadapi proses kedukaan dan kehibaan,” katanya ketika melancarkan ’Handbook Of Children’s Palliative Care Malaysia’ secara maya pada Selasa.

Dr Adham juga berkata, kementerian berdepan cabaran besar untuk memantapkan lagi perkhidmatan perubatan paliatif pediatrik memandangkan perancangan perkhidmatan ini akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dengan mengembangkannya secara wilayah ke Pulau Pinang dan Sabah.

Beliau berkata, Pelan Strategik Penjagaan Paliatif Kebangsaan 2019-2030 turut menggariskan dan memberi fokus kepada penyediaan rawatan secara holistik untuk kumpulan pesakit dengan jangka hayat yang singkat.

Ia termasuk kanser, penyakit genetik dalam kalangan bayi pramatang seperti fibrosis sista dan distrofi otot Duchenne serta gagal organ tetap seperti penyakit jantung dan buah pinggang.

Katanya, penjagaan paliatif dalam kalangan pesakit dewasa kini mempunyai 25 pakar manakala bagi kanak-kanak pula, KKM hanya mempunyai seorang pakar pediatrik paliatif, tiga pakar pediatrik dengan minat khusus dan dua lagi adalah pakar pediatrik paliatif di Pusat Perubatan Universiti Malaya serta Hospital Sains Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!