Bekas pegawai tentera dilantik CDM Sukan Para Asean

Megat D Shahriman pada majlis MoU di Hospital ReGen Rehab pada Selasa.
Megat D Shahriman pada majlis MoU di Hospital ReGen Rehab pada Selasa.
A
A
A

BEKAS pegawai tentera Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Para ASEAN Vietnam 2021 yang dijadual berlangsung di Hanoi dari 17 hingga 23 Disember ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, ketika membuat pengumuman itu, berkata pelantikan tersebut adalah menghargai khidmat yang dicurahkan oleh Mohd Nor Azam kepada sukan para dan negara.

"Beliau adalah calon yang menepati kriteria dalam usaha kita membangunkan gerakan sukan para dalam negara serta membimbing atlet negara memburu kejayaan di Hanoi,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPM dan ReGen Rehabilitation International Sdn Bhd di Hospital ReGen Rehab di sini pada Selasa.

Beliau tidak asing dalam program gerakan paralimpik negara dan memiliki pengalaman luas dalam arena sukan sebagai bekas pemain para badminton kebangsaan dan pegawai sukan, katanya.

Katanya, Md Nor Azam pernah menggalas tugas sebagai Ahli Majlis Eksekutif MPM, bekas ahli Jawatankuasa Para Badminton bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bekas Setiausaha Agung Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF).

Dalam perkembangan lain, Megat Shahriman berkata, atlet dan pegawai ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dari 24 Ogos hingga 5 September ini akan menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 di Institut Sukan Negara (ISN) dan Pusat Kesihatan di Cheras pada 13 April ini.

Sementara itu, Md Nor Azam, 62, menyifatkan peranan baharu sebagai ketua kontinjen negara sebagai satu cabaran besar dalam situasi dunia ketika ini berdepan dengan Covid-19.

Beliau berjanji akan berusaha ke arah mencapai keputusan terpuji skuad negara dengan bantuan dan sokongan daripada MPM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN.

Artikel Berkaitan:

"Kali ini hanya 11 sukan akan dipertandingkan berbanding 16 sukan yang dianjurkan pada Kuala Lumpur 2017. Kita mencapai kedudukan kedua dan ketiga pada dua edisi terdahulu, dan tahun ini kita akan buat lebih baik untuk mencapai sasaran yang akan ditetapkan,” katanya.

Menerusi MoU itu, ReGen Rehab, yang menjadi rakan pemulihan bersama MPM, akan menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan klinikal kepada atlet sukan Para, aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan kecederaan sukan serta langkah pencegahan dan pemulihan daripada kecederaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!