E-dompet antara syarat lesen peniaga pasar tani, pasar awam Putrajaya

Rosol Wahid mengimbas QR Kod aplikasi e-wallet semasa membuat bayaran nasi lemak selepas melancarkan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pasar Tani Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
Rosol Wahid mengimbas QR Kod aplikasi e-wallet semasa membuat bayaran nasi lemak selepas melancarkan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pasar Tani Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penggunaan e-dompet akan menjadi salah satu syarat untuk memperbaharui lesen peniaga pasar tani dan pasar awam di Putrajaya tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihak Perbadanan Putrajaya akan meletakkan syarat berkenaan dalam masa terdekat bagi menggalakkan peniaga beralih kepada kaedah menerima pembayaran dalam bentuk digital.

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada kerangka Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) yang dilaksanakan dalam dua fasa, dengan fasa pertama melibatkan Putrajaya manakala fasa kedua diperluaskan ke seluruh negara pada Mei ini.

ReDI merupakan kerjasama antara Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama beberapa agensi kerajaan dan swasta, antaranya Maybank dan Touch n Go.

Pada sidang akhbar selepas melancarkan ReDI di Pasar Tani Presint 2 di sini pada Selasa, Rosol berkata, kaji selidik KPDNHEP mendapati tahap penerimaan e-dompet dalam kalangan peniaga pasar tani dan pasar awam di Putrajaya adalah sebanyak 50 peratus.

“Kita (KPDNHEP) percaya dengan usaha ‘onboarding’ yang telah dan sedang digerakkan, Putrajaya akan mencapai peratusan melebihi 90 peratus menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rosol berkata, pihaknya menyasarkan 12,844 peniaga di 306 pasar tani dan pasar awam seluruh negara akan menggunakan kemudahan e-dompet, selaras digitalisasi era baharu dalam perniagaan.

Bagi memastikan sasaran itu tercapai, beliau mengalu-alukan kerjasama strategik antara KPDNHEP bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel Berkaitan:

“Sasaran tahun ini adalah memastikan 100 pasar tani dan pasar awam menyediakan kemudahan e-wallet,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!