Debaran jumpa bakal mentua
“ASSALAMUALAIKUM, emak ayah kirim salam...pakcik, makcik apa khabar?”
Salah.
“Assalamualaikum, pakcik dan makcik apa khabar? Selamat hari raya maaf zahir dan batin...”
Tak betul.
“Assalamualaikum, selamat Hari Raya Aidilfitri. Pakcik dan makcik apa khabar? Maaf zahir dan batin...”
Pun tak betul!
Arghhh! Tidak mudah. Saya masih ingat bagaimana sepanjang malam itu dan pada sebelah pagi raya, saya berulang kali cuba menyusun dialog itu dalam fikiran. Malah, sepanjang perjalanan dari Sungai Besar ke Ipoh, susunan ayat itu tetap muncul tenggelam timbul. Saya bukanlah lekeh sangat. Pemidato sekolah. Pembahas. Walaupun suka mengalah, namun sekali sekala bila datang angin, boleh berdebat dengan sesiapa sahaja sampai timbul urat mereh.
Di universiti, saya masih berdebat dan berpidato. Malah, menang anugerah pendebat terbaik universiti-universiti ASEAN. Ikhlas cakaplah, kalau disuruh berdebat dengan Donald Trump pun saya tidak kisah, apatah lagi dengan Alexandra Daddari, Anushka Sharma atau Anna Chipovskaya. Saya yakin akan boleh menghadapinya dengan tenang.
Sebagai tambahan, pada masa itu saya pernah mengikuti kursus membina keyakinan diri. Selain itu, buku-buku berkaitan dengannya pun telah banyak saya baca. Kalau bagi setiap halaman yang dibaca itu saya dibayar RM10 dan semua wang itu saya simpan, mungkin sekarang ini saya sudah mempunyai modal yang cukup untuk membuka sebuah kedai aksesori dan ekzos motosikal.
Di sisi lain, saya ada pengalaman membantu kawan berniaga di pekan sehari, di bazar Ramadan dan di tapak funfair. Ertinya, saya tidak ada masalah hendak berdepan dengan orang. Saya bukan jenis lelaki yang tersipu-sipu dan tunduk menggigit jari setiap kali berjumpa orang baharu. Sejak hari pertama di bangku sekolah rendah lagi, saya dengan penuh ketenangan dan penuh keselambaan menghampiri seorang budak perempuan yang saya berkenan, lalu memperkenalkan diri. Jadi, tahap keyakinan diri saya boleh dikatakan tinggi tetapi semua pengalaman dan ilmu itu rupa-rupanya tidak cukup untuk meredakan gemuruh saya apabila berdepan dengan situasi yang satu ini.
Saya tidak ceritakan tentang gelabah dan gemuruh itu kepada sesiapa, waima kepada ‘si dia’. Apabila dia menelefon pada malam selepas raya itu, saya memberitahunya yang saya tidak sabar menanti esok. Tidak sabar untuk mencium tangan ibu dan bapanya.
Dia percaya. Saat itulah saya mula mengesan bakat saya sebagai ahli politik. Saya ternyata mampu meyakinkan orang lain terhadap sesuatu yang saya sendiri tidak berapa yakin.
Saya bukan tidak pernah pergi ke rumah kawan-kawan perempuan. Bukan tidak pernah berkenalan dengan ibu bapa mereka. Malah, saya pernah berborak dengan bapa salah seorang kawan perempuan saya dari petang raya pertama hinggalah subuh hari raya kedua. Tajuknya, daripada politik, puisi, Manchester United, landak, ikan tilapia, harga sawit hinggalah kepada Fauziah Latiff.
Tetapi berkunjung ke rumah kawan perempuan rupa-rupanya tidak sama dengan berkunjung ke rumah orang yang telah kita muktamadkan sebagai calon isteri. Berkenalan dengan ibu bapa kawan rakan tidak sama berkenalan dengan bakal mentua. Setidak-tidaknya itulah yang saya rasa.
Berdasarkan maklumat yang diberi oleh ‘si dia’, ibu bapanya biasa-biasa sahaja. Sama macam orang lain. Walaupun ia cukup untuk melegakan saya, namun debar dan gemuruh tetap tidak hilang. Betul kata orang tua-tua, jika terlalu berhati-hati kamu akan berasa sukar untuk meniti.
Saya pernah mendengar banyak cerita tentang bagaimana orang menolak calon menantu disebabkan kelaku gelagat calon menantu itu sendiri. Ada kenalan saya kena ‘reject’ sebab semasa bertandang ke rumah keluarga teman wanitanya, dia merokok tidak henti-henti. Bukan rokok sendiri tetapi disebatnya rokok bapa budak perempuan itu. Seorang kawan lain pula menceritakan bagaimana rakannya ‘ditolak’ dengan hormat kerana sepanjang masa bertandang, dari pagi hingga ke maghrib, tidak sekalipun dia menyebut tentang solat.
Sopan
Saya perlu memperingatkan diri berulang kali supaya tidak melakukan semua kesilapan itu. Saya kena duduk dengan sopan, kena bercakap dengan tertib, bertanya hanya bila perlu, menjelaskan dengan jelas apabila ditanya. Apabila masuk waktu mesti minta diri untuk menunaikan solat, jika diminta menjadi iman, mesti bersedia. Malah, kalau disungguh melaungkan azan pun kena sanggup walaupun saya tahu suara saya boleh menyebabkan budak-budak menangis.
Adab di meja makan kena jaga. Jemput makanan dengan hujung jari, bukannya dengan cara menggenggam. Suap sedikit demi sedikit, bukannya main sumbat ikut sempat. Seorang kawan saya, kaki makan nombor wahid di sekitar Sungai Besar pernah ditegur bakal abang iparnya kerana menghabiskan sebalang kuih siput dan tiga pinggan lontong ketika beraya di rumah tunangannya. Mujurlah jodohnya masih ada. Dia berkahwin juga dengan tunangannya itu. Jika tidak, entah siapalah sudi mengutipnya untuk dijadikan suami. Buruk sangat seleranya.
Selain ibu dan bapanya, ada lagi yang meresahkan saya. Saudara maranya. Sudah tentulah pada hari raya begitu akan ada handai taulannya datang beraya. Dengan mereka pun saya harus pandai menyesuaikan diri sebab kadang-kadang, malah selalunya tukang rekomen, tukang cucuk dan tukang racun bukannya berada dalam kalangan ahli keluarga tetapi di celah-celah saudara mara. Jika ada saudara maranya memuji-muji kita, beruntunglah badan. Sebaliknya jika mulut mereka mula termuncung-muncung mengata, bersedialah untuk menghadapi apa juga kemungkinan. Dihantui oleh segala macam fikiran itulah, saya akhirnya sampai ke tempat yang dituju. Itu pun selepas tujuh lapan kali berhenti di tepi jalan untuk mengumpulkan kekuatan dan menyeru semangat.
Sudah tentu saya pergi berkawan, melawan perasaan gemuruh. Ketika saya sampai, hanya keluarganya yang ada. Kepada mereka semua saya berikan salam. Seingat-ingat saya, itulah salam yang paling lembut, lunak dan merdu yang pernah saya ucapkan. Sangat bersopan santun. Demikian jugalah ketika melangkah masuk. Saya benar-benar berpegang pada prinsip kelima Rukun Negara; Kesopanan dan Kesusilaan.
Semasa diperkenalkan kepada ibu dan bapanya saya ibarat dagang perantau yang singgah untuk berteduh hujan di anjung istana. Tertibnya tiada bandingan. Kalau emak dan abah saya tengok, pasti mereka sangat berbangga. Pasti orang akan kata mereka pandai mendidik anak. Tetapi keadaan bertukar beberapa minit kemudian. Layanan baik yang diterima menyebabkan tembok pemisah yang saya sendiri dirikan itu roboh tiba-tiba. Kemesraan bakal keluarga mentua mendorong Budiman yang sebenar keluar daripada kelongsongnya. Saya kembali menjadi saya. Insan berhemah yang sentiasa ramah-tamah.
Hanya setengah jam selepas itu, saya pulalah yang menjadi tuan rumah. Sampai ke dapur saya membawa pinggan. #dush!
* Datuk Budiman Mohd Zuhdi ialah ahli politik dan penulis buku yang bernostalgiah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!