Kadar kehamilan LPPKN setanding antarabangsa

Disebabkan kebanyakan rawatan kesuburan dibantu dengan ubat subur hormon, maka kejadian kehamilan kembar di luar jangkaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. - FOTO: RUETERS
Disebabkan kebanyakan rawatan kesuburan dibantu dengan ubat subur hormon, maka kejadian kehamilan kembar di luar jangkaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. - FOTO: RUETERS
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejayaan rawatan kesuburan yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) setanding dengan pusat rawatan antarabangsa.

Ketua Unit Subfertiliti LPPKN, Dr T Komathy berkata, kadar kehamilan rawatan subfertiliti LPPKN melibatkan kaedah Teknologi Bantuan Konsepsi (ART) yang merangkumi Pensenyawaan In-Vitro (IVF) dan Intra Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI) merekodkan kejayaan antara 15 hingga 35 peratus.

"Angka itu setanding dengan peratus kejayaan kehamilan pusat rawatan di Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan antara 20 hingga 35 peratus.

"Perbandingan ini dilakukan dengan pusat rawatan kesuburan antarabangsa yang tidak menggunakan benih penderma iaitu pusat rawatan yang polisinya sama seperti LPPKN," katanya dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat LPPKN di sini baru-baru ini.

LPPKN pula merekodkan peratus kejayaan kehamilan Prosedur Permanian Beradas (IUI) antara 10 hingga 17 peratus, manakala kadar kehamilan IUI dicatatkan pusat rawatan kesuburan di AS adalah antara 11 hingga 20 peratus.

Katanya, menurut satu kajian yang dijalankan di United Kingdom pada tahun 2013 oleh Bhattacharya, didapati faktor utama penentu kejayaan rawatan kesuburan adalah umur isteri.

"Kadar kehamilan berkurang bila umur isteri melebihi 35 tahun pada masa rawatan diikuti dengan jangka masa ketidaksuburan iaitu kadar kejayaan berkurang bila jangka masa ketidaksuburan melebihi enam tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kos rawatan yang dibelanjakan meliputi kos ubatan dan prosedur-prosedur yang terlibat sehingga sesuatu kitaran rawatan selesai, tidak termasuk kos ujian pengesahan kehamilan.

"Maka, kos rawatan yang sama atau sedikit lebih tinggi akan dikenakan (sekiranya melibatkan penambahan dos ubatan) bagi setiap kitaran rawatan susulan yang dijalani," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, disebabkan kebanyakan rawatan kesuburan dibantu dengan ubat subur hormon, maka kejadian kehamilan kembar di luar jangkaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, tegasnya, objektif rawatan kesuburan adalah untuk memberi seorang anak dalam satu-satu kehamilan kerana kehamilan kembar adalah dikaitkan dengan pelbagai risiko kepada ibu (seperti anemia, kencing manis, darah tinggi) dan kepada anak (kelahiran pra-matang, jangkitan, kadar mortaliti dan morbiditi yang tinggi).

"Data kehamilan kembar LPPKN pada tahun 2019 menunjukkan sembilan daripada 82 kehamilan IUI adalah kembar iaitu lapan kembar dua, satu kembar tiga iaitu 10.9 peratus.

"Satu daripada 12 kehamilan ART atau ICSI pula kembar dua iaitu 8.3 peratus, sementara dua daripada empat kehamilan pemindahan embrio beku adalah kembar dua (50 peratus)," katanya.

Menurut Dr Komathy, secara keseluruhannya, 12 daripada kesemua 140 kehamilan adalah kembar dengan peratus keseluruhan 8.5 peratus.

Jelasnya, dalam sejarah LPPKN juga mereka pernah dua klien yang hamil kembar empat.

Namun, katanya, dengan pemantauan klien yang teliti, kadar kehamilan kembar dapat dikekalkan pada tahap minimum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!