Liverpool berdepan laluan sukar
GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool berdepan laluan sukar meneruskan kemaraan pada saingan Liga Juara-juara setelah tewas 1-3 kepada Real Madrid suku akhir pertama di Stadium Alfredo Di Stefano awal pagi tadi.
Dua jaringan daripada Vinicius Junior pada minit ke-27 dan 65, serta Asensio di minit ke-36 sudah cukup memberikan keselesaan kepada skuad kendalian Zinedine Zidane tersebut.
The Reds kendalian Jurgen Klopp pula berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan penyerang sensasi mereka Mohamed Salah pada minit ke-51.
Los Blancos yang memanfaatkan sepenuhnya kerapuhan benteng pertahanan The Reds pada perlawanan ini akan bertandang ke Anfield minggu depan bagi aksi timbal balik kedua.
Sementara itu, pendahulu EPL, Manchester City mengekalkan momentum positif pada kempen kali ini apabila mengatasi kelab Bundesliga, Borussia Dortmund 2-1 di Stadium Etihad.
Gol The Citizens dijaringkan Kevin De Bruyne pada minit ke-19 dan Phil Foden (90') manakala Marco Reus merapatkan kedudukan pelawat dengan gol pada minit ke-84 menjelang pertemuan kedua di Signal Iduna Park minggu depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!