UDA tawar 50 hadiah lumayan
UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset serta agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menawarkan 50 hadiah lumayan menerusi kempen ‘UDA 50 Golden Offers’ yang dilancarkan pada Selasa.
Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kempen bertemakan ‘Milik dan Menang’ itu dilancarkan khas buat pembeli produk hartanah mereka sempena sambutan ulang tahun jubli emas UDA pada tahun ini.
“Keseluruhan hadiah dan insentif untuk direbut berjumlah lebih RM500,000 termasuk hadiah utama berupa sebuah kereta Proton X50, 5 jongkong emas seberat 50 gram dan 5 buah motosikal Yamaha Y15ZR.
“Melalui kempen ini, kita mahu mengetengahkan produk hartanah UDA di seluruh negara dan istimewanya, pembeli juga akan menikmati tujuh hingga 10 peratus rebat untuk projek terpilih di seluruh Malaysia” katanya selepas menyempurnakan pelancaran kempen ‘UDA 50 Golden Offers’ di Galeri Legasi UDA Kampung Bharu pada Selasa di sini.
Turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Kailany dan Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA, Noor Azmi Salleh.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, kempen tersebut menawarkan jualan pelbagai hartanah meliputi kediaman dan komersial di seluruh Malaysia.
Katanya, kempen berkenaan dibuka kepada semua pembeli produk UDA Property bermula 1 Januari lalu hingga 31 Oktober depan.
“Menerusi inisiatif ini kita tawarkan sebanyak 1,000 unit kediaman termasuk rumah mampu milik yang keseluruhannya berharga RM640 juta.
“Kadar harga kediaman serendah RM300,000 untuk rumah mampu milik di kawasan bandar (Kuala Lumpur) hingga RM1.8 juta untuk unit banglo,” katanya.
Tambah Jalaluddin, inisiatif itu sekali gus dapat menggalakkan pasaran hartanah tempatan dan mempromosikan pemilikan hartanah sejajar sejajar dengan prinsip utama UDA iaitu memperkasa gaya hidup lestari.
Beliau menjelaskan, untuk tawaran ‘UDA 50 Golden Offers’, setiap pelanggan akan mendapatkan satu penyertaan dengan setiap RM100,000 yang dibelanjakan untuk pembelian hartanah UDA.
“Untuk pembeli sedia ada yang mendapatkan hartanah sebelum tarikh kempen bermula (SPA ditandatangani pada tahun 2020), mereka layak menerima dua penyertaan untuk setiap RM100,000 yang dibelanjakan,” katanya.
Kata beliau, pembangunan projek kediaman dan komersial yang ditawarkan membabitkan Residensi Legasi Kampung Bharu, Residensi Akasia Jubilee dan Residensi 38 Bangsar di Kuala Lumpur serta unit komersial Elevate, kondominium Evoke dan banglo Crescent Dew di Pulau Pinang.
Ia turut melibatkan projek Pisonia Ville dan Rossa Terrace di Johor Bahru, Pusat Komersial Coast dan banglo Sarai di Terengganu serta rumah berkembar semi-d Pelindung Heights di Pahang.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang kempen ‘UDA 50 Golden Offers’ itu boleh melayari laman web www.udaproperty.com.my/contest.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!