'Saya bimbang perjanjian sulit Zahid-Anwar benar-benar wujud'
SHAH ALAM - "Saya bimbang memang wujud satu perjanjian sulit, perancangan politik antara Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden Parti Keadilan Rakyat) sekiranya perbualan (rakaman audio tular) benar-benar sahih."
Demikian luahan hati Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin susulan diminta mengulas mengenai satu rakaman video dan audio mirip suara Zahid Hamidi dan Anwar didedahkan di media sosial sejak malam Selasa.
Jelas beliau, sekiranya rakaman perbualan telefon itu benar-benar tulen, ia sangat menyedihkan kerana itu bukti jelas Ahmad Zahid seolah-olah telah menipu dan mengkhianati seluruh ahli UMNO.
"Jika isu itu benar, segala apa diperkatakan dan diputuskan sama ada dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mahu pun Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) adalah sandiwara semata-mata.
"Presiden akan dilihat sanggup menggadaikan UMNO semata-mata diri sendiri dengan semua ahli diperkudakan demi kepentingan beliau. Ini juga akan dianggap bukti jelas ada perjanjian sulit dimeterai beliau dengan Datuk Seri Anwar," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Rakaman video dan audio berdurasi 4 minit dan 17 saat yang menjadi tular itu dimulakan dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, dalam video itu turut kedengaran suara yang mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO itu menerusi panggilan telefon.
Susulan itu, Ahmad Zahid menafikan adanya perbualan antara beliau dan Anwar sebagaimana terkandung dalam rakaman audio tular berkenaan.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa tiada sebarang perbualan beliau dengan ketua pembangkang itu selepas PAU lepas.
ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar
Zahid nafi perbualannya bersama Anwar
Dalam pada itu, Mohd Fuad menegaskan semua ahli UMNO perlu bertanggungjawab dalam memastikan sebarang bentuk politik kotor dan penuh muslihat dihentikan demi kelangsungan parti.
"Sekiranya rakaman audio perbualan telefon itu sahih, adakah Lembaga Disiplin dan MKT UMNO tutup mata dan tidak mengambil apa-apa tindakan semata-mata untuk menjaga nama baik institusi Presiden?
"Kalau ahli-ahli UMNO senang-senang digantung dan diambil tindakan disiplin sekiranya melakukan kesalahan, mengapa tidak Presiden (UMNO) sekiranya terbukti bersalah?" katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!