PRU15: Calon bakal PM UMNO jadi penentu kemenangan
SHAH ALAM - Calon bakal Perdana Menteri ditawarkan UMNO akan menjadi penentu kepada kemenangan dan mandat yang akan diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi berpendapat, rakyat mahu tahu siapa calon Perdana Menteri parti teras Melayu itu memandangkan pilihan raya dijangka semakin hampir.
"Desakan untuk pemilihan dilakukan segera adalah kerana ramai pemimpin berpandangan UMNO akan kalah jika Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) memimpin parti itu ke medan perang PRU15.
"Bukankah lebih mudah jika Presiden berundur untuk selamatkan parti," soalnya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.
Beliau berpandangan, adalah penting untuk UMNO bukan sekadar menjawab soalan itu tetapi menjawab dengan jawapan yang tidak melambangkan UMNO masih belum belajar dari kekalahan PRU14 pada 2018.
Menurutnya, Perdana Menteri merupakan individu yang akan mengetuai kerajaan dan segala dasar serta hala tuju negara akan dicorakkan oleh ketua kerajaan ini.
"Ia akan ada impak kepada ekonomi, pendidikan serta segala hal ehwal negara dan rakyat untuk sekurang-kurangnya (dalam tempoh) lima tahun.
"Oleh itu, rakyat akan memilih berdasarkan siapa yang UMNO tawarkan kepada mereka. Kalau baik tawarannya maka Insya-ALLAH baiklah keputusannya dan begitu juga sebaliknya," katanya.
Beliau berkata, untuk mengetahui kehendak rakyat, ahli parti diseru supaya bertanya kepada mereka yang terdekat mengenai calon Perdana Menteri yang benar-benar layak mewakili parti itu.
Tegasnya, golongan yang terdekat dengan seseorang individu itu disifatkan lebih jujur kerana kasih sayang mereka bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi juga kepada UMNO itu sendiri.
"Tanya sahaja kepada mereka yang terdekat dengan kita. Tanya suami atau isteri, adik-beradik dan sahabat terdekat sama ada Presiden UMNO sesuai ditawarkan sebagai calon Perdana Menteri.
"Tanyalah kepada mereka yang tiada kepentingan peribadi selain mahu melihat negara Malaysia yang penuh potensi untuk menjadi yang lebih baik dan maju.
"Kepada orang muda parti, bersuaralah dan bercakap benar. Beritahu kepada kepimpinan luahan hati akar umbi dan rakyat. Jangan kita menjadi orang yang zalim pada diri sendiri dengan membiarkan pisang berbuah dua kali," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!