'Mak cik petir' pernah rancang berbuka puasa bersama keluarga, anak
JOHOR BAHRU - Pelakon Allahyarham Noryati Taib yang meninggal dunia awal pagi hari ini pernah merancang untuk berbuka puasa bersama seluruh keluarga termasuk adik-beradiknya pada hari pertama Ramadan tahun ini.
Anak ketiga Allahyarham Noryati, Faizul Hafiz Hashim, 36, berkata, hasrat untuk berbuka puasa di rumah mereka di Taman Air Biru, Pasir Gudang itu disampaikan ibunya pada akhir Februari lepas sejurus keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail, di sini akibat komplikasi buah pinggang, namun tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada 1.45 pagi tadi.
“Lazimnya seluruh keluarga kami termasuk adik-beradik mama (Noryati) berbuka puasa bersama-sama pada hari pertama Ramadan di rumah pusaka keluarga mama di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, Majidee, di sini.
“Namun, dengan keadaan kesihatan arwah mama yang tidak menentu dan sukar bergerak, arwah berhasrat menjemput seluruh keluarga untuk berbuka puasa di rumah kami sahaja di Taman Air Biru,” katanya yang ditemui pemberita selepas selesai pengebumian Allahyarham ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di sini hari ini.
Menyingkap keperibadian Allahyarham Noryati yang terkenal dengan panggilan ‘Makcik Petir’, Faizul Hafiz bekerja sebagai peniaga berkata, ibunya adalah seorang sangat kuat berpesan kepada anak-anak dan tidak lagi berhasrat untuk berlakon.
“Dia (Allahyarham Noryati) sendiri suka berpesan, dia punya leteran memang kita rindu. Antara yang dia selalu pesan, jangan sakitkan hati orang, jangan tipu orang dan berbaik dengan jiran dan masyarakat. Hari ini pun, ramai jiran dan kariah masjid datang menziarahi dan membantu pengurusan jenazah mama,” katanya.
Faizul Hafiz berkata, Allahyarham ibunya mengadu tidak sedap badan kira-kira 12 tengah malam tadi sebelum sesak nafas dan menghembuskan nafas terakhir di sisi suami, Hashim Mohd Yusoff, 65 dan anak bongsu, Ezzahani Hashim, 31.
Menurut Faizul Hafiz, terdapat beberapa rakan artis yang juga anak angkat Noryati sering bertanya khabar dan mengambil berat kesihatan Allahyarham ibunya termasuk Sharnaaz Ahmad, Mamat Sepah, Joey Daud serta Along Cham sama ada secara berhubung terus menerusi telefon dengan Allahyarham atau menerusi dirinya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Noryati, 63, dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Al-Ittihad, Perjiranan 9, Taman Air Biru serta selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh pada kira-kira 11.30 pagi.
Pada awal Februari lepas, media melaporkan, Noryati yang pernah berlakon dalam drama Sindarela, SyurgaMu Ramadan, Dotty serta Tari Tirana disahkan positif Covid-19 dan kemudian sembuh selepas dirawat di Hospital Permai, di sini.
Noryati turut menghidap penyakit kencing manis sehingga sebelah kakinya terpaksa dipotong pada September 2017 di HSI selain mengalami jangkitan kuman pada paru-paru yang kritikal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!