Negeri Sembilan benarkan solat tarawih tanpa had masa
SEREMBAN - Kerajaan negeri membenarkan solat tarawih dilakukan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiada tempoh had masa ditetapkan sepanjang ibadah tersebut dilakukan, ia bergantung kepada imam yang mengendalikan solat sunat tersebut.
"Bagaimanapun, masjid dibuka sehingga jam 12 tengah malam dan akan dibuka semula pada jam 4 pagi.
"Apa yang penting semua ibadah dan aktiviti di masjid seperti majlis berbuka puasa, perlu patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, pihak pengurusan masjid wajib memastikan SOP dipatuhi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, kerajaan negeri akan menetapkan kadar bayaran tertentu kepada mana-mana pihak yang mengusahakan tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Katanya, penceroboh tanah milik kerajaan itu akan dikenakan bayaran atau caj mengikut kadar yang akan ditetapkan dalam masa terdekat ini.
"Kita mahu memperkasakan Lesen Pendudukan Sementara (LPS), selepas ini kita akan kenakan caj kepada mereka yang mengunakan tanah kerajaan atau yang menceroboh agar pulangan dapat dikembalikan semula kepada kerajaan negeri.
"Kita mahu kedua-dua pihak dapat manfaat bersama, bukan satu pihak sahaja yang untung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!