Syarikat pembuatan papan lapis didakwa tidak patuhi Akta 446
ALOR SETAR - Sebuah syarikat pembuatan papan lapis di Pokok Sena, di sini didakwa tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) ketika operasi dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pada Rabu.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah, Arzanil Bahadon berkata, syarikat berkenaan didapati menggajikan 2,313 pekerja yang terdiri daripada 1,090 pekerja tempatan dan 1,223 orang pekerja warga asing.
Katanya, asrama pekerja warga asing yang ditempatkan dalam kawasan kilang itu didapati tidak mempunyai perakuan penginapan mengikut Seksyen 24D Akta 446 selain kemudahan asas yang tidak mencukupi termasuk katil dan almari.
"Hasil pemeriksaan didapati nisbah tandas juga tidak mematuhi syarat yang ditetapkan malah ada juga tandas yang dibina sejauh 200 meter dari kawasan asrama," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini setelah selesai operasi terbabit pada Rabu.
Menurutnya, jumlah pekerja juga berkemungkinan besar melebihi kapasiti asrama yang disediakan berdasarkan pemerhatian ketika operasi terbabit dijalankan.
"Mengikut Akta 446, setiap asrama pekerja perlu mempunyai ruang seluas tiga meter persegi antara katil, sekiranya kita tengok padat, kemungkinan jumlah pekerja melebihi kapasiti sepatutnya. Apa pun kita akan ukur dan kira terlebih dahulu untuk memastikannya," katanya.
Arzanil berkata, operasi berkenaan turut disertai oleh lain-lain agensi seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MlTl), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) serta Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Pendang.
"Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan Pematuhan Akta 446 secara lebih agresif bagi memastikan majikan dan penyedia penginapan berpusat mematuhi Akta 446.
"Kegagalan mematuhi akta ini menyebabkan majikan boleh didakwa dan dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.
Arzanil menambah, setakat 6 April pihaknya telah meluluskan sebanyak 157 permohonan daripada 246 permohonan yang diterima.
"Majikan yang belum membuat permohonan perakuan penginapan di bawah Akta 446 ini perlu menyegerakannya walaupun hanya memiliki seorang sahaja pekerja warga asing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!