Peguam tidak mengaku gubah wang haram RM6.5 juta
KUALA LUMPUR – Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas sembilan pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM6.5 juta bermula 2017 lalu.
Tertuduh, M Pathmarajah, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Hakim Kamarudin Kamsun.
Di hadapan Hakim Datin Sabariah, mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Pathmarajah didakwa menerima wang RM3,735,200; RM640,070 dan RM2,161,330 melalui beberapa cek daripada Tan Bee Kim & Partners hasil aktiviti haram ke dalam dua akaun bank milik Firma Guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co tertuduh sebagai rakan kongsi firma guaman berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Maarof, Bangsar Baru di sini antara 8 Ogos 2017 dan 12 Februari 2018.
Sementara bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memindahkan RM608,370 dan menggunakan RM1,080,000 serta RM2 juta yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Malayan Banking milik firma guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co dan tertuduh sebagai rakan kongsi firma guaman tersebut ke dalam akaun semasa lain firma guaman itu dan dua syarikat lain.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bank Jalan Maarof, Bangsar Baru di sini antara 12 Februari 2018 dan 16 April 2018.
Sementara bagi pertuduhan ketujuh hingga kesembilan, di hadapan Hakim Kamarudin, Pathmarajah turut didakwa atas pertuduhan iaitu memindah RM22,000, RM1,594,757 dan RM1,538,484 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada dua akaun bank milik firma guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co dan tertuduh sebagai rakan kongsi firma guaman tersebut melalui beberapa cek kepada dua akaun semasa bank milik firma guaman tersebut.
Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM600,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan alasan pertuduhan terhadapnya adalah serius.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Datuk Vignesh Kumar, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana Pathmarajah adalah penanggung tunggal keluarga serta mempunyai tiga anak yang masih meneruskan pengajian tinggi.
“Tertuduh mempunyai pengalaman lebih 40 tahun sebagai peguam dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!