73 juta rokok seludup dirampas dalam tempoh tiga bulan
KUALA TERENGGANU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 73,355,624 batang rokok seludup bernilai RM6.3 juta sepanjang tempoh tiga bulan bermula Januari hingga 31 Mac 2021.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, rampasan itu sekali gus membantu menyelamatkan RM54.2 juta hasil cukai.
Katanya, purata rampasan rokok tahun ini hampir sama jika dibandingkan sepanjang tahun membabitkan keseluruhan 894 juta rokok dirampas dengan hasil cukai sebanyak RM661.90 juta.
"Berdasarkan jumlah keseluruhan rampasan setakat ini, trend penyeludupan rokok dilihat hampir sama dengan tahun lepas iaitu purata rampasan sebanyak 25 juta batang dalam tempoh sebulan.
"Ia menunjukkan kegiatan penyeludupan rokok masih berjalan walaupun negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Diperketatkan (PKPD) atau Bersyarat (PKPB)," katanya pada sidang akhbar rampasan rokok seludup di Terengganu, pada Rabu.
Dalam pada itu, Abdul Latif menegaskan aktiviti penyeludupan rokok di negara ini serius ekoran permintaan yang tinggi dengan rekod sebanyak 441 kes setakat 2021 dan sejumlah 2,104 kes direkodkan sepanjang 2020.
Beliau berkata, kebiasaannya permintaan rokok seludup melibatkan pekerja asing dan golongan berpendapatan rendah dan lokasi tumpuan di sekitar Lembah Klang.
"Kita akui aktiviti penyeludupan rokok serius. Situasi ini disebabkan harga rokok seludup jauh lebih rendah berbanding rokok bercukai.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, Kastam Terengganu berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan dan penjualan rokok tanpa cukai di negeri ini iaitu di pesisir pantai Lembah Bidong, Kuala Nerus dan di sebuah premis di Kampung Pak Madah, Bukit Payong, Marang pada 31 Mac lalu.
"Kes pertama di Lembah Bidong membabitkan rampasan sebanyak 508,000 batang (2,540 karton) rokok putih pelbagai jenama bernilai RM66,040 dengan duti serta cukai dianggarkan sebanyak RM341,884.
"Bagi kes kedua di sebuah rumah kedai di Kampung Pak Madah pula melibatkan rampasan 239,120 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama disyaki belum lulus kastam berada di kaunter dan dalam simpanan premis dengan nilai RM33,778.40 dengan duti serta cukai dianggarkan RM161,167," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!