Pengajian TVET pilihan sesuai untuk pelajar: Muhyiddin

Muhyiddin ketika berucap merasmikan penutup Ekspo dan Sidang Kemuncak Pendidikan TVET 2021 secara maya pada Rabu. - Foto Bernama
Muhyiddin ketika berucap merasmikan penutup Ekspo dan Sidang Kemuncak Pendidikan TVET 2021 secara maya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah antara pilihan yang sesuai untuk pelajar yang masih mencari arah masa depan kerjaya, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, TVET bukanlah pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang, sebaliknya kerjaya berasaskan kemahiran yang ditawarkan menerusi pengajian TVET mampu menjanjikan pendapatan lumayan.

"Bagi anak-anak dan para ibu bapa yang berada di persimpangan jalan dalam mencari arah masa depan kerjaya yang sesuai, saya ingin yakinkan saudara dan saudari bahawa pengajian TVET adalah antara pilihan yang sesuai.

"Bahkan institusi TVET negara sama ada awam atau swasta adalah antara yang terbaik di dunia," katanya ketika berucap merasmikan penutup Ekspo dan Sidang Kemuncak Pendidikan TVET 2021 secara maya di sini pada Rabu.

Muhyiddin berkata, pengajian TVET adalah tunjang pembangunan sumber manusia dalam memastikan tenaga kerja baharu yang berkemahiran tinggi dapat dihasilkan terutamanya dalam bidang-bidang baharu yang penting kepada kemajuan negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan semua institusi TVET yang menyertai ekspo berkenaan dibantu secara percuma bagi pendigitalan pendidikan mereka dengan sebuah Sistem Pengurusan Pembelajaran telah dibangunkan menggunakan kepakaran anak-anak muda Malaysia untuk manfaat semua institusi TVET yang mengambil bahagian.

Katanya, usaha pendigitalan pendidikan yang dijalankan itu adalah selaras dengan pelan MyDigital-Blueprint Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan sebelum ini.

"Saya percaya kita mampu melonjakkan kemajuan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi sekiranya budaya digital diamalkan secara menyeluruh dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam bidang pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan pendigitalan pendidikan, kita pastinya akan dapat membangunkan modal insan berkualiti yang dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran terkini untuk meningkatkan kemajuan negara dan taraf hidup rakyat," katanya.

Beliau turut berharap penganjuran program seperti Ekspo dan Sidang Kemuncak Pendidikan TVET 2021 dapat diteruskan pada masa akan datang, sekali gus akan menjadi permulaan yang baik bagi Malaysia untuk muncul sebagai hab pendidikan digital TVET di dunia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!