Muhyiddin ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak D-8

Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) ke-10 diadakan secara maya pada Khamis.
Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) ke-10 diadakan secara maya pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) Ke-10 yang diadakan secara maya pada Khamis.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), sidang kemuncak maya itu dihoskan Bangladesh, selaku Pengerusi Sidang Kemuncak D-8.

Sidang Kemuncak dimulakan dengan Sesi Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 Ke-19 pada 7 April yang akan disertai Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, manakala sesi Mesyuarat Pesuruhjaya D-8 ke-43 pula diadakan pada Isnin dan Selasa.

Bertemakan “Partnership for a Transformative World: Harnessing the Power of Youth and Technology”, ia bertepatan dengan agenda D-8 untuk mengkaji semula inisiatif sedia ada dan pada masa sama meneroka peluang baharu melalui pemerkasaan belia dan teknologi digital dalam menangani cabaran ekonomi global, yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Pemimpin diharapkan dapat membincangkan dan mengkaji perkembangan dan pencapaian enam bidang kerjasama ekonomi dan merumuskan rancangan kerjasama ekonomi untuk dekad berikutnya.

"Pemimpin dijangka membincangkan dan memperhalusi perkembangan serta pencapaian kerjasama ekonomi yang wujud sejak dua dekad lalu seterusnya merangka rancangan kerjasama ekonomi untuk dekad seterusnya," kata kenyataan itu.

Enam bidang keutamaan di bawah D-8 ialah perdagangan, kerjasama industri dan perusahaan kecil dan sederhana, pertanian, pengangkutan, tenaga dan mineral serta pelancongan.

Menurut Wisma Putra pemimpin juga akan menerima pakai dua dokumen hasil iaitu Deklarasi Dhaka dan Pelan Hala Tuju D-8 2020-2030.

Artikel Berkaitan:

"Deklarasi Dhaka akan memperkukuh komitmen negara anggota bagi menyempurnakan objektif dan kerjasama D-8 dalam merangka strategi akan datang.

"Pelan Hala Tuju D-8 bagi tempoh 2020–2030 pula akan menyediakan garis panduan bagi pemantauan dan penilaian ke ataspencapaian D-8 untuk 10 tahun," kata kenyataan itu.

Sidang Kemuncak ini juga dijangka akan menjana idea dan inisiatif baharu bagi mencapai objektif dan aspirasi Kumpulan D-8.

Penyertaan Malaysia ke sidang kemuncak ini sekali gus memperlihatkan komitmen dan sokongan berterusan Malaysia terhadap inisiatif di bawah kerangka kerjasama D-8.

Sekretariat D-8 yang berpangkalan di Istanbul,Turki, diterajui Setiausaha Agung D-8, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, rakyat Malaysia pertama yang dilantik ke jawatan itu.

Beliau dilantik pada 1 Januari 2018 untuk tempoh empat tahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!