Ordinan Darurat tidak ketepi ketelusan tadbir urus kewangan negara

Ordinan Darurat berkaitan perbelanjaan diwartakan itu hanya melibatkan perbelanjaan tambahan dan tidak merangkumi penyediaan belanjawan tahunan. Gambar kecil: Tengku Zafrul
Ordinan Darurat berkaitan perbelanjaan diwartakan itu hanya melibatkan perbelanjaan tambahan dan tidak merangkumi penyediaan belanjawan tahunan. Gambar kecil: Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan Ordinan Darurat berkaitan perbelanjaan tambahan diwartakan pada 31 Mac lalu, tidak mengetepikan aspek akauntabilti dan ketelusan tadbir urus kewangan negara.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hal itu kerana pihaknya menerbitkan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PB 1.4, Tatacara Anggaran Perbelanjaan Tambahan Bagi Tempoh Darurat.

Menurut beliau, pekeliling terbabit diterbitkan bagi menggariskan panduan bagi perkara berkaitan tadbir urus perbelanjaan tambahan dan proses berkaitan pengurusan perbelanjaan tambahan sepanjang tempoh darurat.

Tegas Tengku Zafrul, tadbir urus digariskan dalam pekeliling itu memastikan peruntukan tambahan bagi tahun 2021 adalah perbelanjaan yang amat diperlukan, selain mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan.

“Secara keseluruhan, sebarang perbelanjaan tambahan perlu mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada bagi menentukan disiplin dan prosedur perlu dipatuhi kerajaan.

“Ordinan berkenaan tidak mengenepikan atau membatalkan had hutang berkanun, mahupun keperluan Baki Akaun Semasa.

“Malah, dengan keperluan siaran perbelanjaan menerusi pewartaan, ini bermakna kerajaan adalah telus dan berusaha memastikan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan perbelanjaan khususnya dalam tempoh darurat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada 31 Mac lalu, kerajaan mewartakan satu ordinan baharu memberikan kuasa kepada perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar untuk meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Tatacara Kewangan 1957 juga menetapkan larangan untuk kerajaan melakukan pinjaman bagi membiayai perbelanjaan mengurus bagi memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebihi hasil kerajaan.

Pada masa sama, beliau menjelaskan ordinan darurat berkaitan perbelanjaan diwartakan itu hanya melibatkan perbelanjaan tambahan dan tidak merangkumi penyediaan belanjawan tahunan.

Katanya lagi, kerajaan juga bertanggungjawab membentang dan memberikan jawapan bagi sebarang soal jawab terhadap segala tindakan diambil dalam tempoh darurat apabila sesi Parlimen dan Dewan Rakyat diadakan kelak.

“Kesimpulannya, faktor utama dan terpenting adalah pematuhan garis panduan mengenai tadbir urus kewangan yang baik serta ketelusan perbelanjaan kerajaan di dalam tempoh ini.

“Ordinan ini akan menyokong perbelanjaan perlu diutamakan untuk memastikan negara terus kekal di landasan pemulihan dan pengukuhan ekonomi tahun ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!