Gaji pemain terlalu tinggi 'bunuh' industri bola sepak
ALOR SETAR - Penetapan gaji pemain bola sepak yang terlalu tinggi boleh membunuh industri bola sepak dalam negara.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil kira aspek berkenaan dalam industri bola sepak tempatan agar lebih munasabah dengan persekitaran sukan negara ini.
Menurutnya, ini kerana ‘benchmark’ yang diletakkan itu belum mencapai tahap dalam negara ini.
“Kadar gaji bergerak lebih pantas daripada kadar keupayaan dalam mencari sumbangan dan kesanggupan syarikat untuk melakukan penajaan. Penajaan dalam industri bola sepak kita belum sampai ke tahap itu, di mana gaji bergerak terlalu pantas,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, FAM dan MFL perlu pertimbangkan aspek ini dalam menyusun atur industri bola sepak untuk kebaikan semua.
“Saya tak mahu kata siapa yang tetapkan ‘benchmark’ itu tetapi ia membunuh industri bola sepak negara. Kita bukan tak mahu pemain dapat gaji bagus sebab mereka pun bukan boleh main tempoh lama, mungkin sehingga 36 tahun sebelum beralih kerjaya.
"Namun kalau di Malaysia, gaji pemain RM70,000 sebulan, ia terlalu mahal untuk ditanggung oleh persatuan sukan atau syarikat yang diswastakan oleh persatuan bola sepak negeri. Harap perkara ini jadi pengajaran kepada semua yang terbabit dalam industri ini,” katanya.
Sebelum ini, MFL mengumumkan dua penaja utama saingan Liga-M iaitu CIMB dan AirAsia menarik diri daripada melanjutkan tajaan dalam Liga-M mulai musim ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, semua pasukan dalam negara berhadapan masalah pembayaran gaji apabila meletakkan ‘benchmark’ gaji pemain lebih tinggi berbanding keupayaan pasukan.
“Kalau pasukan kita boleh hidup, nak lawan siapa? Gaji pemain RM80,000-RM100,000 seorang, pasukan lain sudah bungkus sebab tak mampu nak bayar akhirnya main sesama kita. Piala semua kita bolot sorang sebab pasukan lain tak mampu.
"Perlu pertimbangkan semula sebab industri tempatan belum sampai ke tahap itu lagi, walaupun kita mahu ada kemajuan namun langkahnya jangan terlalu laju,” katanya.
Mengulas dakwaan pemain Kedah mengalami tunggakan gaji dua bulan, Muhammad Sanusi jelaskan pembayaran dibuat pada Rabu.
“Kita sudah masukkan bayaran dalam akaun pemain untuk dua bulan selepas mendapat sumbangan daripada penaja. Bukan senang nak cari hampir RM2 juta termasuk untuk pengurusan dalam sebulan namun kita berusaha bersungguh-sungguh selesaikan,” katanya.
BERITA BERKAITAN: MFL, FAM kena ambil pengajaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!