Gua Matsoorat tiada dalam senarai lokasi penggambaran
CYBERJAYA - Gua Matsoorat di Perak tidak disenaraikan sebagai lokasi penggambaran sebuah drama yang menjadi isu susulan dakwaan berlaku kerosakan dalam gua berkenaan.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap lesen Surat Perakuan Penggambaran (SPP) dan mendapati senarai tempat serta aktiviti penggambaran syarikat produksi terbabit tidak melibatkan Gua Matsoorat.
“Tidak ada langsung yang menyebut boleh buat penggambaran dalam gua," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Festival Filem Belia Antarabangsa LimKokWing University di sini pada Rabu.
Menurutnya, penerbit drama berkenaan juga mengakui tiada adegan lakonan dalam Gua Matsoorat dan ia bermakna pencerobohan atau kerosakan di dalam gua yang berlaku adalah tindakan peribadi individu atau kumpulan.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Perak sedang menyiasat dakwaan fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dinding di Gua Matsoorat didakwa dirosakkan ketika sebuah syarikat produksi drama menjalankan penggambaran.
Turut tular di laman sosial apabila pengguna Facebook mendedahkan terdapat kerosakan selepas penggambaran sebuah drama, selain mendakwa kru produksi membuang sampah merata-rata dengan perkongsian beberapa gambar menunjukkan kerosakan dan ukiran tajuk drama itu pada dinding gua. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat produksi ceroboh gua, rosakkan fosil
Kerosakan Gua Matsoorat: Perak tuntut ganti rugi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!