Bekas kakitangan imigresen disyaki buka laluan palsukan PLKS
KUALA LUMPUR - Bekas kakitangan Jabatan Imigresen adalah antara individu yang disyaki membuka laluan kepada sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan menggodam sistem pangkalan data imigresen, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.
Beliau berkata, bekas kakitangan jabatan berkenaan telah diberhentikan kerja beberapa tahun yang lepas.
“Bekas kakitangan itu dipercayai mempunyai akses menggodam sistem pangkalan data imigresen, sehingga membenarkan sindiketnya mencuri kata laluan pegawai-pegawai imigresen.
“Hasil pembongkaran sindiket ini, mereka menggunakan peralatan antaranya seperti router, untuk menggodam sistem sehingga sindiket ini mampu mencetak dan menduplikasi perisian sistem berkenaan dengan mencetak PLKS di luar pejabat imigresen,” katanya dalam sidang akhbar operasi hack - sindiket godam sistem di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur di sini.
Azam berkata, setakat ini, seramai lima suspek termasuk seorang individu bergelar Datuk ditahan dan direman selama enam hari bermula Rabu di Mahkamah Shah Alam.
Selain itu, Azam berkata, setakat jam 9 malam tadi, pihaknya telah membekukan sebanyak 147 akaun melibatkan 30 individu dan 11 syarikat dengan jumlah sebanyak RM9.9 juta.
Beliau berkata, jumlah berkenaan akan bertambah, apabila pihak bank selesai mengemaskini baki akhir akaun itu selepas proses pembekuan dibuat.
Mahkamah Majisteret Shah Alam pada Rabu telah mengeluarkan perintah reman terhadap lima individu termasuk seorang individu awam bergelar Datuk selama enam hari bagi membantu siasatan kes Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu Jabatan Imigresen Malaysia.
Perintah reman hingga Isnin itu terhadap Datuk berusia 43 tahun dan empat individu lain berumur di antara 33 hingga 42 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil, selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya telah lama memperoleh maklumat berhubung sindiket pemalsuan PLKS dan mengambil keputusan menubuhkan pasukan khas, sejak pertengahan tahun lepas.
Beliau berkata, isu melibatkan penggodaman pangkalan data imigresen itu berlaku dalam skala besar dan imigresen memerlukan bantuan SPRM untuk menyiasatnya.
“Pasukan khas ini telah membuat kerja-kerja risikan dan mengumpul maklumat berhubung sindiket ini sehingga terbongkar, malah Kementerian Dalam Negeri mengambil maklum perkara ini.
“Bagi menangani masalah ini, kerajaan telah meluluskan sistem baharu iaitu Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan Integrasi (NIISE), bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikesan berlaku manipulasi dan penipuan, untuk meluluskan kuota pekerja asing,” katanya.
Menurut Khairul Dzaimee, sistem sistem berkenaan akan dilancarkan bulan ini dan akan mengambil masa setahun untuk mengoperasikannya.
Mengulas lanjut isu itu, Azam berkata, sindiket penggodaman pangkalan data Imigresen yang ditumpaskan semalam menggunakan penghala (router) yang diletakkan di lobi dan komputer pegawai jabatan berkenaan.
“Router ini dipercayai diletakkan di kawasan dalam jabatan seperti lobi dan komputer pegawai bertugas, untuk membolehkan kata laluan digodam,” katanya.
Ditanya sama ada sindiket itu menggunakan pegawai dan kakitangan imigresen yang sedang berkhidmat, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum membuat sebarang penahanan dan masih menyiasat.
Pada Selasa, SPRM bersama imigresen berjaya melumpuhkan sindiket pengeluaran PLKS palsu selepas lima individu termasuk ketua sindiket bergelar Datuk ditahan, dalam operasi besar-besaran yang dilaksanakan awal pagi pada Selasa.
Penahanan individu berkenaan turut merungkai permasalahan penggodaman sistem PLKS jabatan imigresen sebelum ini oleh sindiket berkenaan. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket godam data Imigresen, cetak PLKS palsu tumpas
Imigresen buru 21,378 warga asing miliki PLKS palsu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!