Curiga gaya hidup mewah luar biasa
DUA tiga hari ini heboh cerita sindiket kartel membolot projek-projek kerajaan menerusi tender atau sebut harga bernilai lebih RM3.8 bilion yang dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Cerita ‘kantoi’ satu hal, tapi kemewahan ditunjukkan oleh ketua kartel bergelar Datuk itu amat luar biasa. Kata orang sekarang, mewah gila! Dia bukan sahaja menyimpan RM3.5 juta wang tunai di rumahnya tetapi turut memiliki sebuah kapal mewah dan dua buah helikopter.
SPRM turut menyita kenderaan mewah bernilai RM 15.7 juta berserta nilai hartanah termasuk banglo, rumah kedai, pejabat bernilai RM29 juta. Itu belum aset yang lain lagi.
Ini menunjukkan sindiket berkenaan meraih kekayaan berbilion daripada kegiatan jahat yang telah beroperasi sejak tahun 2014 lagi.
Seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan yang menjadi ‘balaci’ kepada kartel tersebut turut ditahan SPRM. Lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan menerima imbuhan sebanyak RM1.2 juta untuk membocorkan maklumat mengenai spesifikasi projek kepada kartel tersebut.
Dulu kita pernah dikejutkan dengan penahanan seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian serta dua anak lelakinya oleh SPRM dan merampas sejumlah wang tunai serta jongkong emas bernilai jutaan ringgit, selain merampas beberapa barangan mewah, termasuk jam, beg tangan, pen dan sejumlah mata wang asing. Macam mana seorang KSU boleh kaya luar biasa seperti itu memang menimbulkan persoalan.
Terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub yang mencetuskan gelombang anti rasuah melalui Rasuah Busters bahawa inilah antara sebab kenapa semua rakyat harus bangkit dan bergabung untuk membanteras budaya gelap yang telah berakar umbi dalam masyarakat kita.
Kempen #rasuahbusters yang dilancarkan sejak 16 Januari lalu adalah gerakan massa untuk menggempur rasuah habis-habisan sehingga terbinanya sebuah #NilaiMoralKarakterBangsa.
Kempen itu juga mengangkat tema ‘Mak Kata Jangan’ memandangkan ibu merupakan individu yang cukup istimewa, yang mengajar anak untuk menilai perkara baik dan buruk untuk diikuti.Pilihan
Dalam satu wawancara, Hussamuddin menceritakan, pada tahun 1978, beliau bersama rakan kongsi membawa van dari Petaling Jaya ke Bangsar dan mereka ditahan kerana melanggar lampu isyarat.
“Anggota itu memberi pilihan sama ada mahu disaman atau ‘selesai’ di situ. Dia tanya saya ada berapa (duit), saya jawab ada RM12, dan dia ambil RM5 daripada saya. Saya kesal dan marah sehingga sekarang,” katanya.
Maknanya, rasuah itu berlaku daripada bawah hingga ke peringkat atasan dan masyarakat pula seolah-olah tidak kisah. Rasuah perlu diputuskan rantaiannya kerana ia adalah virus berbahaya yang bukan sahaja merosakkan individu, malah keluarga dan negara.Biasanya, kegiatan rasuah ini berlaku apabila seseorang itu mahu hidup mewah dengan segera tetapi tak mampu. Maknanya melepasi paras kemampuan gaji mereka. Mata terus jadi kelabu apabila disogok wang dalam jumlah yang besar.
Sekali buat, terus rasa seronok. Daripada nilai kecil, terus bertambah menjadi besar. Bila sudah banyak duit, mula menayang di media sosial. Sudah tentu kawan-kawan tertanya-tanya, macam mana seorang yang hanya kerja eksekutif biasa boleh beli Ford Mustang, pakai jam Rolex dan bercuti di luar negara?
Kekayaan yang secara tiba-tiba dan luar biasa itu sudah tentu menimbulkan curiga, malah boleh mengalahkan Robert Kuok atau Ananda Krishnan! Nak kata harta keluarga, bapa cuma seorang penoreh getah. Lainlah kalau memang anak Tan Sri.
Percayalah, ‘duit panas’ biasanya tidak kekal lama. Apa yang perlu kita lakukan ialah berani dalam melaporkan kepada pihak berkuasa sesuatu perkara yang mencurigakan atau sekiranya boleh dikaitkan dengan kegiatan rasuah.
Perubahan cara hidup yang ‘luar biasa mewah’ tanpa sebarang sebab dan berlaku dalam sekelip mata boleh menjadi bukti. Masyarakat kena memainkan peranan dengan menjadi ‘mata dan telinga’ dalam membantu semua pihak yang berkaitan bagi membanterasnya melalui Rasuah Busters. Inilah masanya!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!