OKU cekal jadi pemandu e-hailing
MELAKA - Seorang lelaki yang dilahirkan normal namun menerima hakikat sebagai orang kurang upaya (OKU) selepas mengalami kemalangan di tempat kerja ketika berusia 19 tahun.
Zainal Atan, 51, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing di Bandar Melaka berkata, dia reda dengan ujian yang menimpa dirinya dan kekurangan itu bukan penghalang untuk terus mencari rezeki bagi menyara keluarga.
Menurutnya, mengimbas kembali insiden itu, dia yang bekerja di sebuah kilang sawit di Mersing, Johor tersepit pada mesin kilang hingga mengakibatkan tulang belakangnya patah serta menjadi kudung.
Katanya, tidak berakhir di situ, kisah tragis kehilangan kedua-dua belah kaki berlaku beberapa bulan selepas itu apabila dia terkena air panas hingga menyebabkan berlakunya jangkitan kuman dan kakinya terpaksa dipotong.
"Bukan senang untuk saya menerima kenyataan dari seorang normal menjadi OKU hinggakan saya mengalami kemurungan dan sering mengamuk dengan memecahkan barang-barang di rumah.
"Namun lama-kelamaan saya mula menerima hakikat dan reda dengan ujian ALLAH SWT lebih-lebih lagi bila saya lihat ada individu di luar sana yang lebih susah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Zainal berasal dari Bahau, Negeri Sembilan berkata, keputusannya berhijrah ke Melaka dianggap sebagai hikmah walaupun ketika itu dia hanya membawa diri sehelai sepinggang bersama sebuah kereta Proton Saga dan menumpang teduh di Masjid Cina, Krubong.
Menurutnya, pengalaman tinggal di masjid itu banyak mengajarnya tentang erti kehidupan dan dari situ juga dia diberi tunjuk ajar untuk menjadi pemandu Grab selain bertemu jodoh dengan isterinya, Hayati Mohd Yusof, 48.
Katanya, mengenangkan tanggungjawab lebih besar, selain sokongan moral yang diberikan isteri serta anak tirinya, dia kuatkan semangat meneruskan pekerjaan itu walaupun pernah beberapa kali berdepan dengan penumpang yang mengambil kesempatan.
Menurutnya, kebiasaannya dia akan berulang-alik sejauh 80 kilometer setiap hari dari kediamannya di Tanjung Bidara ke bandar kerana di kawasan bandar Melaka lebih ramai pelanggan yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Tambahnya, memandangkan pandemik Covid-19 masih melanda, adakalanya dia pulang dengan tangan kosong berbanding sebelum ini dia boleh mendapat sebanyak RM50 ke RM60 sehari.
"Pernah juga isteri menyuruh saya berhenti kerja dan duduk di rumah memandangkan keadaan fizikal saya yang tidak sama dengan orang lain.
"Tetapi saya memang tak boleh duduk diam, saya mesti buat sesuatu setiap hari kerana saya tidak mahu menjadi OKU yang manja dan malas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!