Jadikan UPSI pusat sehenti sukan ragbi

Shahrul Zaman (kiri) dan Md Amin pada majlis menandatangani MOA berkenaan.
Shahrul Zaman (kiri) dan Md Amin pada majlis menandatangani MOA berkenaan.
A
A
A

PEMETERAIAN Memoradum Persetujuan (MOA) antara Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini diharap dapat menjadikan UPSI sebagai pusat sehenti (one stop centre) bagi sebarang aktiviti ragbi di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Akademi Ragbi Malaysia, Ahmad Effendy Abdul Razak berkata, kewujudan pusat sehenti ragbi itu juga diharap mampu melahirkan kelompok penggiat ragbi yang berpengetahuan serta berketerampilan dalam semua bidang berkaitan sukan ragbi.

Katanya, MOA berkenaan juga diharapkan menjadi titik tolak untuk ruang bekerjasama yang lebih besar pada masa hadapan.

“Secara keseluruhannya, MOA ini bertujuan menjadikan UPSI sebagai salah satu lokasi bagi Akademi Ragbi Malaysia, hab pendidikan bagi mengadakan seminar, bengkel, kursus berkaitan sukan ragbi, menjadi venue kepada pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk menjadi pusat latihan atlet ragbi negara.

“Dari sudut akademik pula, kewujudan pusat sehenti ini diharap dapat memanfaatkan kepakaran pensyarah UPSI dalam bidang Sains Sukan dan Kejurulatihan dan Rehabilitasi, menjadi platform dan persediaan lengkap para penggiat sukan ragbi di negara ini untuk menambah pengetahuan serta mengaplikasikan ilmu sains sukan dalam sukan ragbi selaras dengan teknologi semasa.

“Selain itu, pusat sehenti ini dapat menjadikan UPSI sebagai pusat rujukan para penyelidik bagi tujuan menjalankan penyelidikan dan pembangunan ilmiah (R&D) berkaitan sukan ragbi dengan memanfaatkan pelbagai peralatan sains sukan dan kemudahan sukan UPSI,” katanya.

Pada majlis yang berlangsung di Proton City itu, pihak KRM diwakili presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya manakala UPSI yang diwakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Sementara itu, Ahmad Effendy berkata, MOA berkenaan adalah salah satu siri yang dijalinkan sebagai rakan strategik dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan beberapa institusi pengajian awam (IPTA) di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga Pusat Kecemerlangan Sukan Ragbi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Pusat Prestasi Tinggi (High Performance Center), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebagai Pusat Tumpuan Sukan Ragbi.

“Pihak KPT akan terus bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis - Majlis Sukan Negeri untuk mewujudkan Program 1 Negeri, 1 Universiti, 1 Pusat Latihan 1S1U1C,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!