SRC: Hakim ingatkan peguam Najib tidak ulang poin sama
PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengingatkan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak mengulangi poin yang sama dalam pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu terhadap tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Abdul Karim meminta peguam Harvinderjit Singh untuk meringkaskan penghujahannya kerana banyak poin telah dikemukakan pada hujahan sebelum ini yang dibentangkan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
“Anda mengulanginya lagi dan lagi. Adalah lebih baik anda gunakan ia untuk kaitkan dengan kes pecah amanah (CBT) terhadap Najib. Daripada anda bangkitkan di hadapan kami yang telah dihujahkan oleh Tan Sri Shafee. Sila beri penerangan yang jelas kepada kami.
“Sebenarnya anda mengulanginya. Saya tahu anda mahu menekankan perkara itu kepada kami. Tetapi ini adalah Mahkamah Rayuan. Lebih baik fokus kepada perkara lain,” kata Hakim Abdul Karim.
Harvinderjit kemudian menyambung penghujahannya. Hakim Abdul Karim mengetuai pendengaran rayuan Najib itu bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Sebelum itu, Harvinderjit berhujah bahawa pihak pendakwaan telah memilih untuk mendakwa Najib bagi CBT berkaitan dana SRC International berjumlah RM42 juta apabila penyiasat mengeluarkan notis merah untuk menahan tiga yang lain atas kesalahan itu.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meminta Interpol mengeluarkan notis merah kepada bekas Pengarah SRC Datuk Suboh Md Yassin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan seorang lagi individu dikenali sebagai Redzuan Adam Shah.
"Pada bulan Jun atau Julai 2018, notis merah telah dikeluarkan terhadap ketiga-tiga individu itu atas CBT berjumlah RM50 juta.
"Setelah ketetapan itu, pihak pendakwaan tiba-tiba memutuskan untuk mendakwa Najib,” katanya dan menambah ketiga-tiga mereka dikatakan telah melarikan diri ke luar negara selepas Pilihan Raya Umum, 9 Mei 2018.
Hakim Abdul Karim kemudian mencelah, “pihak pendakwaan mempunyai budi bicara untuk berbuat demikian”.
Harvinderjit juga berkata, Suboh dan Nik Faisal diberi kuasa sebagai penandatangan bagi SRC dan Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) bukannya Najib.
Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.
Prosiding rayuan bersambung. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!