1,215 ahli sindiket curi kenderaan dikenakan POCA
KUALA LUMPUR - Seramai 1,215 ahli sindiket curi kenderaan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sejak tahun 2016.
Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, daripada jumlah itu, 753 individu yang ditahan membabitkan kes curi motosikal, 422 individu curi kereta dan selebihnya bagi lain-lain kenderaan.
Menurutnya, kesemua individu yang dikenakan POCA itu tidak termasuk ratusan individu lain yang didakwa di mahkamah atas kesalahan sama (curi kenderaan).
"Untuk rekod, sebanyak 21,578 kes kecurian kenderaan direkodkan pada tahun lalu berbanding 30,868 pada 2019.
“Kami akan terus membuat kempen bagi mendidik masyarakat supaya kurangkan ruang serta peluang untuk berlaku aktiviti jenayah berkenaan kerana jenayah curi kenderaan sentiasa berlaku," katanya dalam sidang akhbar Majlis Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) di NU Sentral di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dev berkata, melihat kepada statistik itu, beliau percaya penurunan kes ini tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama, kolaborasi serta sokongan padu daripada semua pihak.
"Antara punca berlaku jenayah ini kerana sikap ambil mudah segelintir masyarakat terhadap aspek keselamatan termasuk meletak kenderaan di tempat sunyi serta tidak mempunyai alat penggera,” katanya.
Sementara itu, Koordinator VTREC, Mas Tina Abdul Hamid berkata, berdasarkan kajian dilakukan pihaknya pada 2020 mendapati purata sebuah kenderaan dicuri setiap satu jam 15 minit di negara ini.
“Berdasarkan dapatan itu, sebanyak 20 kenderaan dicuri setiap hari pada tahun lalu. Namun, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu hasil kerjasama erat VTREC, polis dan agensi lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!