Giant berwajah baharu
PETALING JAYA - Pasar raya besar Giant kini berwajah baharu dengan memfokuskan kepada produk berkualiti dan segar di 57 cawangan seluruh negara.
Selari dengan pembaharuan itu, pasar raya yang bertapak di Malaysia sejak tahun 1944 memperkenalkan lebih 2,000 produk baharu merangkumi makanan segar, barang keperluan harian dan kelengkapan rumah.
Pasar raya dimiliki GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd itu turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kepada lebih 100 barangan terpilih sempena pelancarannya ketika menghampiri Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif Makanan Asia Tenggara Dairy Farm, Chris Bush berkata, pihaknya menawarkan harga berpatutan untuk pelanggan khususnya pada waktu sekarang.
Menurutnya, penjenamaan semula Giant dengan logo baharu itu dilakukan mengikut kehendak dan kepuasan pengguna.
"Selepas mendengar suara pengguna, hasilnya pada hari ini kita menaik taraf operasi pasar raya, tahap kebersihan, kepelbagaian produk dan tahap perkhidmatan.
"Kita berbangga dengan dengan perjalanan Giant yang menerajui sektor peruncitan di Malaysia. Kita akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik buat pelanggan kerana kita memahami pentingnya pelanggan," katanya ketika pelancaran wajah baharu pasar raya besar Giant di Kota Damansara di sini pada Khamis.
Perasmiannya disempurnakan Lembaga Pengarah GCH Retail Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar.
Bush berkata, setiap pandangan pelanggan diambil maklum dan berikan perhatian.
"Kita tahu setiap perkara walaupun ia kecil tetapi itulah menjadikan Giant berbeza berbanding pasar raya lain," kata beliau.
Antara penambah baikan yang dilakukan termasuk World of Food dengan memperbanyakkan variasi pilihan makanan merangkumi produk dari luar negara serta keluaran tempatan.
Turut disediakan ialah bahagian baharu iaitu Zon Ringgit dengan menyusun barangan berharga RM3 seperti kelengkapan dapur, penjagaan diri dan makanan ringan bagi memudahkan pelanggan mengatur bajet.
Wajah baharu pasar raya tersebut dapat dilihat di bahagian produk makanan sedia dimakan seperti biskut, roti dan kek segar yang baru dibakar.
Tidak dilupakan ialah bahagian keperluan am dengan penyediaan lebih 700 produk baharu daripada alat memasak dan peralatan dapur, permainan kanak-kanak dan zon penjagaan diri di Guardian, Health and Beauty Care.
Bush berkata, sememangnya Giant memainkan peranan penting sebagai pusat sehenti untuk pelanggan mendapatkan keperluan harian terdiri daripada barangan dapur, penjagaan kesihatan sehingga barangan elektronik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!