Timbalan Pengerusi PKR Johor dipanggil polis untuk siasatan
JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse dipanggil untuk siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu itu dipanggil untuk disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman berkaitan 'flash mob' yang dianjurkan depan Plaza Pelangi, Taman Pelangi, di sini pada 2 April lalu.
Jimmy Puah tiba dan masuk untuk memberi keterangan di IPD Johor Bahru Selatan pada jam 10.30 pagi dengan diiringi peguamnya, Hassan Karim yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang.
Sejurus selesai memberi keterangan pada jam 11.10 pagi, Jimmy Puah ketika ditemui pemberita mengakui terkejut pihak polis mengambil keterangannya berhubung 'flash mob' yang dilakukannya minggu lalu.
"Bagaimanapun, saya memberikan kerjasama penuh terhadap 'flash mob' itu yang dilakukan untuk menuntut supaya darurat ditamatkan, Parlimen dibuka semula untuk bersidang dan undi 18 tahun dilaksanakan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Saya tetap dengan pendirian dan gesaan saya seperti dalam 'flash mob' itu," katanya di pekarangan IPD Johor Bahru Selatan.
Kira-kira 30 penyokong PKR Johor berkumpul di luar IPD berkenaan bagi menyatakan sokongan terhadap Jimmy Puah.
Jumaat lalu, Jimmy Puah dan Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali hadir dalam 'flash mob' tersebut dan mendakwa, darurat yang dikenakan ketika ini merosakkan demokrasi selain menyifatkan tindakan itu sebagai langkah ke belakang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!