Pulau Pinang tetapkan tiga kadar zakat fitrah
BUKIT MERTAJAM - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bernilai RM7, RM12 dan RM16 setiap seorang pada tahun ini.
Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, tiga kategori ditetapkan bagi memberi peluang kepada umat Islam yang berkemampuan menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah mengikut kadar yang lebih tinggi iaitu RM16 seorang.
Menurutnya, kadar tertinggi itu ditetapkan bagi mereka yang memakan jenis beras berkualiti tinggi seperti bastmathi dan setara dengannya.
"Bagi kumpulan majoriti yang memakan beras jenis super special tempatan lima peratus, super special tempatan 10 peratus, beras tempatan standard, beras tempatan premium atau lain-lain setara dengannya ditetapkan kadar RM7 seorang.
"RM12 pula dikhususkan bagi kumpulan yang memakan beras wangi, beras pulut dan beras calrose/poney atau yang setara dengannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP), di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.
Ahmad Zakiyuddin berkata, pada tahun lalu ZPP menerusi amil zakat fitrah yang telah dilantik berjaya memungut sebanyak RM5.54 juta dan bagi tahun 2021 pihaknya menyasarkan dapat membuat kutipan zakat fitrah sebanyak RM6 juta.
Katanya, seramai 1,719 orang amil yang ditauliahkan di seluruh Pulau Pinang dan 232 kariah ditetapkan sebagai pusat kutipan.
"Disebabkan kita masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi kaedah pembayaran konvesional mesti mematuhi tatacara khas yang disediakan oleh ZPP.
"Namun dalam suasana normal baharu dan perkembangan teknologi masa kini, pembayaran menerusi dalam talian serta beberapa aplikasi digital amat digalakkan," katanya.
Jelasnya, pembayaran boleh dilakukan melalui portal zakatpenang2u.com, JomPay, aplikasi mudah alih Tulus, kod QR Bank Muamalat, aplikasi GoPAYZ serta platfom digital lain yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Sementara itu, Amran berkata, kesedaran orang ramai menggunakan kemudahan pembayaran zakat fitrah menerusi platform digital dan aplikasi dalam talian semakin meningkat dan beliau yakin kaedah pembayaran itu akan terus digunakan sekali gus mencapai sasaran kutipan tahun ini.
"Tahun lalu sahaja sebanyak 11 peratus orang membayar zakat fitrah melalui kaedah online dan ia naik mendadak kerana sebelum ini hanya lima peratus pembayar zakat menggunakan kemudahan itu.
"ZPP juga ingin memaklumkan bahawa urusan penerimaan zakat harta oleh ZPP seperti zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat emas serta zakat-zakat lain masih berjalan seperti biasa di semua kaunter perkhidmatan ZPP seluruh Pulau Pinang mengikut waktu operasi ditetapkan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan melalui semua saluran media sosial ZPP," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!