88 peratus akui vape bantu berhenti merokok
KUALA LUMPUR - Tinjau selidik yang dilakukan oleh Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) mendapati sebanyak 88 peratus penghisap rokok berjaya berhenti merokok dengan bantuan vape atau rokok elektronik.
Tinjauan yang sama juga mendapati sebanyak 79 peratus yang menggunakan vape dan masih menghisap rokok, semakin kurang merokok sejak menggunakan vape.
Sebanyak 66 peratus daripada perokok sedia ada akan mula menggunakan vape atau meneruskan penggunaan vape dengan matlamat untuk berhenti merokok secara sepenuhnya.
Penemuan itu hasil tinjau selidik Malaysian Insights & Perspectives on Vape (Pandangan & Perspektif Rakyat Malaysia tentang Vape) yang dijalankan atas permintaan MVIA dan dikendalikan oleh Green Zebras, sebuah syarikat penyelidikan pasaran terkemuka di Malaysia.
Ia melibatkan sampel seramai 1,025 dewasa Malaysia dan mencerminkan persepsi semua dewasa Malaysia di seluruh negara.
Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, keputusan itu adalah sejajar dengan banyak kajian antarabangsa oleh pakar-pakar kesihatan awam terkemuka yang jelas menunjukkan vape sebagai alat yang berkesan untuk membantu perokok berhenti merokok dan merupakan alternatif yang jauh kurang mudarat.
Penemuan terbaharu daripada Public Health England (PHE), sebuah agensi kesihatan United Kingdom (UK) adalah bukti jelas yang menunjukkan keberkesanan produk vape dalam mempengaruhi tabiat berhenti merokok.
“Penemuan-penemuan ini telah mendorong banyak kerajaan di seluruh dunia untuk melancarkan kempen kesedaran bagi menggalakkan perokok berhenti dengan bertukar kepada vape. UK misalnya, menganjurkan kempen Stoptober tahunan pada bulan Oktober untuk mendorong perokok untuk bertukar kepada vape.
"Baru-baru ini, New Zealand juga melancarkan kempen QuitStrong untuk mencapai matlamat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tinjau selidik itu juga mendapati bahawa 56 peratus daripada rakyat Malaysia secara keseluruhannya berkata bilangan orang yang menggunakan vape semakin meningkat dalam tempoh beberapa tahun lepas dan sebab utamanya ialah penggunaan vape dianggap kurang mudarat daripada merokok.
“Inilah faktor penting mengapa ramai orang berhenti merokok dan bertukar kepada vape dan PHE menyatakan bahawa penggunaan vape adalah 95 peratus kurang berbahaya berbanding menghisap rokok. Penemuan PHE juga telah disokong oleh pelbagai agensi kesihatan awam dan pakar antarabangsa,” katanya.
Rizani berkata, kerajaan Malaysia perlu mengiktiraf penggunaan vape terutama potensi untuk membantu perokok berhenti merokok dengan bertukar kepada produk kurang mudarat.
"Buat masa ini, produk vape masih tidak dikawal selia dan kami percaya sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan peraturan terhadap produk dan mengguna pakai dasar-dasar yang akan menggalakkan perokok bertukar kepada vape yang kurang mudarat,” katanya.
Dengan matlamat memahami persepsi rakyat Malaysia terhadap penggunaan vape, tinjau selidik itu mendapatkan pandangan penduduk tempatan tentang kesan ekonomi vape dan juga pandangan mereka terhadap penggunaan vape sebagai cara membantu perokok berhenti merokok.
ARTIKEL BERKAITAN: Masa untuk kawal selia industri vape
80 peratus mahu peraturan terhadap vape
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!