Tukang simbah cat dah kena cekup

Kesan cat merah yang disimbah pada rumah mangsa di Taman Mesra, Butterworth, Selasa lalu.
Kesan cat merah yang disimbah pada rumah mangsa di Taman Mesra, Butterworth, Selasa lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki yang dipercayai ahli sindiket pinjaman wang tidak berlesen (ah long) ditangkap selepas terlibat dengan perbuatan melemparkan cat di rumah peminjam di Taman Mesra, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan yang mendakwa rumahnya disimbah cat merah pada bahagian dinding luar.

Menurutnya, satu nota kecil turut ditinggalkan sebagai peringatan untuk membayar hutang dengan disertakan nama seorang wanita namun mangsa mendakwa tidak pernah berhutang dengan sesiapa.

“Mangsa menyedari dinding rumahnya disimbah cat kira-kira jam 8.30 pagi dan hasil maklumat kita berjaya menahan suspek pada jam 2.30 petang dengan merampas cat merah serta sebuah telefon bimbit.

“Hasil siasatan suspek mengaku terlibat dalam enam kes membaling cat membabitkan lima rumah di daerah Seberang Perai Utara manakala satu lagi di Seberang Perai Selatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Noorzainy berkata, suspek mengakui menerima upah sebanyak RM200 setiap kali membaling cat di kediaman mangsa yang gagal melangsaikan hutang ah long.

Katanya, suspek hanya menerima arahan serta maklumat peminjam melalui aplikasi WhatsApp dan mendapat bayaran sebaik tugasnya selesai.

“Siasatan mendapati suspek bergerak seorang diri dengan menunggang motosikal bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

“Suspek kini direman sehingga 9 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy memaklumkan sebanyak enam kes dilaporkan di daerah SPU membabitkan kes simbah cat dipercayai perbuatan ah long.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!