Zakat fitrah Melaka kekal RM7, RM14

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

MELAKA - Melaka mengekalkan kadar zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM7 dan RM14 seorang bagi umat Islam di negeri ini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri telah memutuskan kadar zakat itu pada tahun lalu dikekalkan dan bayaran boleh dilakukan bermula 1 Ramadan tidak lama lagi.

Menurutnya, seramai 1,500 amil dilantik terdiri dalam kalangan imam dan pegawai kakitangan di seluruh masjid bagi memudahkan serta melancarkan pembayaran yang dibuat oleh umat Islam di kariah masing-masing.

"Kadar pembayaran zakat berada pada kadar sama seperti tahun lalu dan boleh dibayar di mana-mana kaunter pembayaran zakat yang telah dilantik di seluruh negeri ini.

"Amil yang dilantik juga akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti tahun lalu termasuk tidak bersalaman," katanya.

Abdul Halim berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Hotel Muzaffar di Ayer Keroh di sini pada Khamis.

Jelas beliau, pembayaran zakat fitrah menerusi dalam talian lebih digalakkan malah pada tahun lalu kira-kira 125,000 individu telah melakukan pembayaran zakat tanpa tunai menggunakan kaedah yang disediakan Zakat Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka.

"Kaedah ini lebih memudahkan dan menjimatkan masa malah dapat mengekang penularan pandemik Covid-19 yang belum berakhir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!