Tanjung Tuan kawasan larangan perikanan
PORT DICKSON - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menetapkan perairan sejauh satu batu nautika dari pantai Tanjung Tuan adalah kawasan larangan perikanan.
Pengarah Perikanan Negeri, Halimi Abu berkata, sepanjang pantai Tanjung Tuan, telah diwartakan mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994.
Katanya, sebarang aktiviti penangkapan ikan di perairan ini seperti memukat, membubu, merawai, memancing dan mengambil batu karang tidak dibenarkan.
"Mengikut tinjauan selaman oleh DOF bersama pakar-pakar penyelidik di perairan Port Dickson, terdapat 119 spesies batu karang pelbagai jenis dijumpai di sekitar laut Tanjung Tuan dan Pulau Terumbu.
"Antaranya karang keras, karang lembut, ikan karang dan invertebrata macro benthic, yang banyak dijumpai di Pulau Terumbu, di sini.
"Jadi, kecantikan dan keunikan yang ada di dasar laut Tanjung Tuan ini perlu dipelihara dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemuliharaan Biodiversiti Marin di Pantai Tanjung Biru, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ir Bakri Sawir.
Tambahnya, selain terkenal sebagai pusat peranginan negara, Port Dickson juga menjadi lokasi selam yang menarik kerana ada banyak terumbu karang dan spesies kehidupan yang menarik seperti penyu, ikan karang, latok, dan lain-lain.
Sementara itu, Halimi turut memberitahu di Port Dickson terdapat tiga orang yang dilantik dan diberi lesen kebenaran untuk memungut telur penyu di sepanjang pantai.
Katanya, bagi tempoh tiga bulan ini, sebanyak 550 biji telur penyu telah dipungut sekitar pantai, daripada tujuh sarang yang ditemui.
"Ramai sebenarnya tidak tahu populasi penyu di pantai Port Dickson ini agak baik dan kita sentiasa mengadakan program pemuliharaan dengan mengambil telur-telur dari sarang untuk ditetaskan di pusat ikan hiasan Port Dickson terlebih dahulu sebelum dilepaskan semula ke laut.
"Bagaimanapun, kita agak kecewa apabila pada tahun ini sahaja kita telah menemui tiga ekor penyu yang telah mati (terdampar dan hanyut) dipercayai tersangkut di pukat hantu atau pukat milik nelayan.
"Oleh itu, kita berharap semua lapisan masyarakat termasuk nelayan memberi kerjasama, sekiranya ada penyu tersangkut pada pukat, segera maklum kepada Jabatan Perikanan agar kita boleh menyelamatkannya. Walaupun penyu itu sudah mati, segera lapor mengenai perkara itu kepada kami," katanya.
Dalam pada itu, Halimi memberitahu sebanyak 26 kilogram sampah termasuk pukat hantu yang dipungut dalam dasar laut di sekitar Tajung Biru dan Tanjung Tuan.
Katanya, program pembersihan dasar laut, terumbu karang dan pukat hantu ini sangat penting bagi memastikan hidupan laut terutamanya spesis terancam seperti penyu dapat diselamatkan.
Pada program tersebut, sebanyak 10 ekor penyu jenis karah dan agar berumur satu hingga tiga tahun dilepaskan, selain ikan nemo dan 10,000 ketam renjung di pesisiran pantai Tanjung Tuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!