Struktur telekomunikasi perlu segera didaftar

Khairul Shahril (tengah) menunjukkan papan Maklumat Struktur Telekomunikasi selepas hadir ke majlis Taklimat Pelaksanaan Penambahbaikan Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Khairul Shahril (tengah) menunjukkan papan Maklumat Struktur Telekomunikasi selepas hadir ke majlis Taklimat Pelaksanaan Penambahbaikan Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memberi amaran kepada pemilik struktur telekomunikasi yang tidak berdaftar untuk segera membuat pemutihan bagi mengelak sebarang tindakan lebih tegas.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, setakat ini hanya 712 struktur telekomunikasi yang mengemukakan permohonan bagi Program Pemutihan Struktur Telekomunikasi tersebut.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 2,132 struktur telekomunikasi di negeri ini dan jumlah itu dijangka bertambah menerusi program yang dikendalikan Digital Perak dengan kerjasama kerajaan negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perak.

"Kerajaan negeri telah menetapkan bahawa setiap struktur telekomunikasi yang beroperasi di Perak perlu mematuhi polisi dan dasar kerajaan negeri termasuklah memiliki permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

"Pembinaan menara dan struktur sistem pemancar telekomunikasi secara sah amat penting bagi mengurangkan risiko keselamatan serta mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Taklimat Pelaksanaan Penambahbaikan Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Program Pemutihan Struktur Telekomunikasi dijadualkan bermula pada 1 April hingga 31 September 2021.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, kerajaan Perak turut akan menerima 105 pencawang telekomunikasi baharu di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diperkenalkan kerajaan Pusat.

Katanya, proses tender bagi projek tersebut sudah dilaksanakan dan pembinaan tersebut akan dimulakan pada tahun ini di seluruh Perak.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!