Rumah tak siap, pembeli teraniaya
TANAH MERAH - Pembeli kediaman di Taman Jaza Perdana di sini, diseru tampil bagi mengadakan perbincangan bagi proses pemulihan projek perumahan itu yang telah terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu.
Pengerusi Taman Jaza Perdana, Nurul Huda Ibrahim,39, berkata pihaknya masih mencari hampir 300 lagi pembeli kediaman di kawasan itu yang terdiri daripada tentera, guru, polis dan kakitangan awam.
"Sebelum ini kita pernah war-warkan dalam akhbar dan media elektronik, laman sosial Facebook serta WhatsApp berhubung perkara ini dan hanya 150 pembeli yang berjaya dikesan.
"Kita harap bagi mereka yang masih tidak tampil supaya dapat menghubungi talian ahli jawatankuasa 019-7337040 atau saya sendiri di talian 0 19-635 9915," katanya.
Menurut Nurul Huda, setelah perbincangan dilakukan sebelum ini, pemaju terbabit telah dibatalkan kontraknya dan kini atas arahan dan setelah kes di bawa ke mahkamah, kini mereka sedang mencari pemaju baharu untuk tujuan baik pulih.
"Kita harap pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga dapat bertindak berhubung isu.
"Kami sudah tidak tahan lagi ekoran ada di antara kami terpaksa menyewa kediaman sementara dan masih dipotong gaji mereka untuk bayaran rumah yang dibeli ini," katanya.
Seorang pembeli, Mohd Idrus Mohd Yusoff, berkata dia yang merupakan bekas pesara tentera terpaksa menyewa kediaman lain.
"Pemaju janji dalam masa dua tahun kediaman ini siap, namun sehingga kini kami hampa.
"Hanya tinggal tapak sahaja dan rumah masih terbengkalai. Jadi kami harap ada pihak dapat bertanggungjawab terhadap nasib kami yang teraniaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!