Wartawan NST meninggal dunia ketika mendaki
GERIK - Seorang wartawan sambilan akhbar New Straits Times (NST) dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai program Eksplorasi Ekopelancongan di kawasan hutan lipur Pulau Tali Kail, Tasik Banding di sini pada Khamis.
Zulkifly Ab Latif, 41, dipercayai mengalami sesak nafas ketika membuat pendakian di lokasi tersebut.
Wartawan sambilan Utusan Malaysia, Wat Kamal Abas berkata, mangsa mengadu sesak nafas dan mual ketika berjalan di kawasan berbukit.
"Dia mengadu sesak nafas, sakit dada dan dan terasa mual nak muntah. Saya cuba membantunya sebelum dia tidak sedarkan diri di atas riba saya," katanya.
Mangsa antara 18 wartawan dan jurugambar daripada pelbagai agensi media yang mengikuti program eksplorasi ekopelancongan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sejak Selasa lalu.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira jam 1.27 petang.
"Maklumat awal diterima daripada pemanggil menyatakan mangsa mengalami sesak nafas ketika membuat pendakian.
"Pihak bomba ke lokasi kejadian untuk membawa keluar mangsa menerusi jeti awam Tasik Banding," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!