Johor benarkan solat tarawih, aktiviti imarah masjid dan surau

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor membenarkan program ihya' Ramadan yang merangkumi solat tarawih serta aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di seluruh negeri itu, dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin di sini pada Khamis.

Kenyataan itu turut memaklumkan pelaksanaan program ihya' Ramadan yang berkuat kuasa 1 Ramadan itu, perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh JAINJ, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pelaksanaan solat tarawih diberi keutamaan kepada jemaah lelaki dewasa dan kanak-kanak yang berumur tujuh tahun dan ke atas. Kapasiti para jemaah di dalam masjid dan surau juga tidak mempunyai had, namun jemaah perlu mematuhi SOP dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Solat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat diikuti solat witir sebanyak tiga rakaat. Imam bertugas hendaklah membaca surah-surah lazim sahaja pada setiap rakaat, selepas bacaan surah al-Fatihah,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, bagi program tadarus al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam selepas solat witir atau waktu yang diprogramkan oleh pihak masjid dan surau, manakala majlis khatam al-Quran pula dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam 30 minit.

“Program kuliah dan ceramah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam, bagaimanapun kuliah sebelum atau selepas tarawih tidak dibenarkan.

“Majlis qiamullail adalah dibenarkan untuk tempoh dua jam sebelum masuk waktu Subuh namun, jemaah tidak dibenarkan tidur bermalam di dalam masjid dan surau,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Majlis berbuka puasa, sahur dan moreh di dalam masjid serta surau turut dibenarkan untuk dilaksanakan di kawasan dikhususkan, dengan juadah dibungkus manakala aktiviti bufet atau layan diri tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, menurutnya bagi majlis-majlis tertentu jamuan secara berhidang dibenarkan untuk 50 jemaah sahaja di ruang yang ditetapkan.

“Program agihan bubur lambuk dalam kawasan masjid dan surau turut dibenarkan, namun kegiatan masak-memasak dalam kawasan masjid dan surau tidak dibenarkan,” jelasnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!