KKM rampas 105 ubat, kosmetik bernilai RM800,000
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 105 jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang bernilai lebih RM800,000 dari tiga lokasi di Ipoh, Perak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam operasi yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak pada Isnin menemui produk bina badan yang tidak berdaftar serta mengandungi racun antaranya yohimbine dan hormon testosterone.
"Rampasan ini juga merangkumi produk suntikan untuk bina badan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, hormon testosterone dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi.
"Hormon testosterone kerap disalahgunakan oleh individu untuk tujuan membina otot badan," katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata,, individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual ubat-ubat dan kosmetik-kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
"Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.
"Bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut pula, boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, individu atau syarikat yang menjual produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dinasihati agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan produk-produk tersebut tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya.
"KKM menyarankan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik dari media sosial.
"Orang ramai perlu menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan 'Product Status' atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400," katanya.
Tambahnya, semakan status pendaftaran produk kesihatan dan kosmetik boleh dilakukan menerusi aplikasi NPRA Product Status.
"Aduan dan maklumat mengenai penjualan atau pengiklanan produk kesihatan dan kosmetik meragukan boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di https://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan selain panggilan telefon di talian 03-7https://moh.spab.gov.my8413200," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!