Rekrut remaja, Mat Top hidup mewah hasil jenayah ragut

Mazlan (tiga, kanan) menunjukkan barang yang dirampas.
Mazlan (tiga, kanan) menunjukkan barang yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Merekrut remaja tidak bekerja dengan 'janji manis' selain mendakwa kononnya mengenali pegawai polis bagi memastikan kegiatan jenayah yang dilakukan selamat.

Namun, kegiatan jenayah ragut yang aktif dilakukan 'Geng Mat Top' sejak tahun 2016 akhirnya memakan diri dalam serbuan berasingan pada 28 Januari dan 2 Februari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun di hadapan sebuah bank di Jalan Raja Chulan selepas disyaki terlibat meragut rantai leher seorang wanita.

Pelbagai barang yang dirampas.
Pelbagai barang yang dirampas.

Menurutnya, soal siasat dan bertindak hasil maklumat serta risikan, polis cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah telah menggempur sebuah rumah sewa di Kampung Simpang Tiga, Gombak, Selangor kira-kira jam 12.20 tengah hari.

"Serbuan Ops Rentap Khas ini telah memberkas 10 lelaki berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun yang disyaki merupakan rakan jenayah kepada tangkapan pertama.

"Pelbagai barang telah dirampas antaranya telefon bimbit (18 unit), motosikal (15 buah), topi keledar (20 unit) serta 20 keping plat pendaftaran. Polis turut menyita sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Hypermotard 821 serta kereta jenis Mercedes Benz AMG A45 dan Honda Jazz," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Antara kenderaan yang disita.
Antara kenderaan yang disita.

Mazlan mendedahkan, kumpulan yang diketuai suspek dikenali Mat Top ini bergerak seramai tiga orang untuk setiap kegiatannya di mana setiap daripada mereka berperanan untuk memantau lokasi, memantau mangsa serta melakukan ragut.

Katanya, sekiranya suspek tertangkap, rakan mereka ini akan datang dan berpura-pura sebagai orang awam yang membantu sebelum suspek ini dibebaskan.

"Malah bagi mengecam rakan jenayah masing-masing, setiap daripada mereka ini memakai jaket berwarna hitam. Kegiatan geng ini juga berjadual dengan pulangan hasil jenayah kira-kira RM10,000 sehari," katanya.

No Image Caption

Tambah Mazlan, soal siasat terhadap Mat Top juga membongkar sebuah akaun bank mengandungi RM217,000 selain motosikal Ducati Hypermotard 821, kereta jenis Mercedes Benz AMG A45 dan Honda Jazz yang dibeli secara tunai dipercayai hasil kegiatan jenayahnya.

"Geng ini terlibat dalam 45 kes di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor membabitkan kerugian kira-kira RM500,000," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), Seksyen 45 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA) dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!