Dua kru kapal melecur stabil

Aidi Sham
Aidi Sham
A
A
A

PORT DICKSON - Dua kru kapal MV Rapallo yang melecur akibat terkena percikan minyak semasa berlabuh di Jeti Jimah Energy Ventures Bukit Pelandok, pada malam Rabu dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Mohammad Aidi Sham Mohammed berkata, dua lelaki warganegara Romania itu telah dipindahkan ke Hospital Manipal Klang, Selangor setelah menerima rawatan awal di Hospital Port Dickson.

Katanya, mangsa, Cristian Eugen Rusu, 29, dan Lonel Laurentiu Timpu, 29, dikatakan sedang melakukan kerja rutin di atas kapal tersebut dan telah terkena percikan minyak panas yang menyebabkan badan mereka melecur.

"Pegawai perubatan hospital telah mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa warga Romania ini telah mengalami lecur badan sebanyak 50 peratus dan berada dalam keadaan stabil.

"Insiden ini adalah satu kemalangan industri dan hasil siasatan awal tidak menemukan sebarang perlakuan jenayah.

"Pihak Jabatan Laut akan memulakan pemeriksaan lanjut di atas kapal MV Rapollo pada Jumaat," katanya pada Khamis.

Kapal MV Rapollo dari Australia itu telah berlabuh di Jeti Jimah, Bukit Pelandok sejak 5 April dengan membawa muatan arang batu dan dijangka keluar dari jeti tersebut pada Khamis.

Pada Rabu, dua anak kapal MV Rapollo (Bulk Carrier) warganegara Romania melecur terkena minyak bahan api semasa menjalankan tugas-tugas di bilik enjin kapal di Terminal Jimah Energy Ventures (JEV), Port Dickson di sini.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Laut Malaysia memberitahu, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 9.05 malam dan dua pekerja kapal berkenaan yang melecur telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!