Najib akan failkan permohonan ketepi notis kebankrapan: Peguam

Muhammad Shafee
Muhammad Shafee
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan notis kebankrapan terhadapnya setelah gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Semasa ditemui pemberita, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pasukan perundangan Najib akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan notis kebankrapan dan penangguhan prosiding kebankrapan itu.

“Kami juga memohon penangguhan terhadap perintah penghakiman terus melibatkan RM1.69 bilion itu. Kami akan mengemukakan dokumen yang diperlukan dalam beberapa hari ini untuk bukan sahaja bagi penangguhan notis kebankrapan itu tetapi juga jumlah yang diminta oleh LHDN.

“Saya telah diarahkan oleh anak guam saya supaya memfailkan semua permohonan ini secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas prosiding rayuan Najib bagi kes berkaitan SRC International di Mahkamah Rayuan pada Khamis.

Pada Selasa lepas, kerajaan memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lepas.

Menurut dokumen yang difailkan di mahkamah, kerajaan melalui LHDN, memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lepas terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021 jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun untuk mendengar rayuannya.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!