‘Video’ pelayan terkini restoran mamak

A
A
A

BARU-BARU ini sahabat lama berkongsi video 'seorang robot’ sedang melayan pelanggan di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Kuala Lumpur. Penulis terkejut kerana pemilik restoran itu berani memulakan inisiatif baharu sejak Mac lalu sejajar pelaksanaan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Menerusi sedutan video tersebut, robot bernama Video itu dilihat sibuk membawa dan menghantar beberapa bekas berisi makanan serta minuman daripada meja ke meja mengikut pesanan pelanggan. Sebagai seorang yang sangat terpengaruh dengan budaya kerja Jepun dan pernah tinggal di Tokyo, penulis bangga kerana Malaysia sudah memasuki era pemodenan.

Penulis melihat tindakan menggunakan robot melayan pelanggan boleh mengurangkan penularan Covid-19 kerana robot bekerja tanpa sentuhan. Secara ilmiahnya, pemilik restoran berkenaan perlukan keberanian untuk inovasi dan sudah pasti ia sukar dilaksanakan kerana ilmu pengetahuan serta kemahiran tinggi diperlukan. Sudah semestinya spesifikasi reka bentuk dan ruang diperlukan untuk robot tersebut bergerak melakukan kerja, sekali gus menghasilkan kesilapan sifar.

Pergerakan pelanggan dalam ruang restoran juga perlu mempunyai laluan khas bagi mengelak kejadian tidak diingini terutama pada waktu sesak. Walaupun pelayan robot mudah digunakan tetapi cabaran utama tetap ada kerana bukan semua restoran mempunyai ruang laluan mencukupi.

Sekalipun robot sudah mula memasuki pasaran pekerjaan, ia tidak bermakna manusia akan kehilangan pekerjaan. Sebaliknya, manusia perlu menaik taraf ilmu dan kemahiran dalam bidang diperlukan IR4.0. Asas bidang 4.0 ialah STEM iaitu singkatan Science, Technology, Engineering and Mathematics

ALLAH SWT menegaskan kepentingan sains dan kejuruteraan dalam surah Fathir Ayat [35:27-28] bermaksud: “Tidakkah kamu melihat bahawasanya ALLAH menurunkan hujan daripada langit, lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat. Dan demikian (pula) antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada ALLAH di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama. Sesungguhnya ALLAH Maha perkasa lagi Maha Pengampun.”

Kereta terbang

Namun, penulis sebenarnya lebih teruja untuk melihat pelaksanaan cadangan kereta terbang yang dilihat mampu melonjakkan nama Malaysia yang kini dikenal pasti negara ke-19 paling menarik di dunia pada penggal pertama pada 2021 berbanding tempat ke-33.

Artikel Berkaitan:

Menyedari hakikat tentang keper-luan menghasilkan lebih ramai saintis dan jurutera, penulis mencadangkan STEM dijadikan agenda utama dalam pengembangan sistem pendidikan Malaysia kerana banyak kajian menunjukkan kecenderungan penurunan pelajar memilih mata pelajaran STEM di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Akibat penurunan secara beransur-ansur ini akhirnya akan menyebabkan kekurangan bakat untuk industri berkaitan STEM pada masa depan dan seterusnya merosakkan cita-cita pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Oleh itu, peruntukan RM50.4 bilion untuk sekolah dan institusi pendidikan tinggi dalam Belanjawan 2021 perlu memperuntuk program pengajian pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) bermula daripada Tahap 1 iaitu pensijilan kemahiran rendah sehingga ke Tahap 9 yang setara dengan program Doktor Falsafah (PhD) kemahiran.

Secara harfiahnya, masyarakat Malaysia terutama generasi muda perlu menaik taraf ilmu dan kemahiran daripada teknologi konvensional kepada mengaplikasi teknologi baharu.

Kesimpulannya, semua pihak dirayu memperuntukkan sedikit masa dan wang ringgit khususnya kepada kajian robot dan STEM bagi memupuk kecenderungan dalam kalangan rakyat Malaysia lebih meminati sains.

Penulis percaya tindakan pemilik restoran nasi kandar tersebut telah memulakan budaya inisiatif dan inovasi terkini dalam kalangan rakyat Malaysia. Sikap begini perlu dicontohi pihak lain. Penulis pasti budaya inovasi akan subur dalam kalangan syarikat dan rakyat Malaysia pada setiap masa.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!