Tabik Yob... kalian memang profesional

Barisan pemain Perak FC meraikan jaringan ketika menentang UiTM FC di Stadium Perak pada Rabu. -Foto Bernama
Barisan pemain Perak FC meraikan jaringan ketika menentang UiTM FC di Stadium Perak pada Rabu. -Foto Bernama
A
A
A

PERAK FC menampilkan semangat luar biasa ketika bangkit membenam cabaran UiTM FC 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Rabu.

Pengendali Perak FC, Chong Yee Faatt berkata, beliau kagum dengan semangat anak-anak buahnya biarpun mereka dipalit dengan isu tunggakan gaji sebelum turun berdepan UiTM FC.

“Para pemain saya cukup profesional dan ini membuatkan saya menghormati mereka. Sebenarnya sebelum ini pun pemain tidak terkesan (dengan masalah tunggakan gaji).

“Dalam setiap perlawanan, mereka akan ketepikan apa saja masalah dan hanya memberikan yang terbaik. Cuma dalam beberapa aksi sebelum ini, kami tidak bernasib baik.

“Tetapi pada perlawanan semalam (Rabu), lain macam sikit semangat pemain. Mereka telah memberikan persembahan yang terbaik dan akhirnya kami mencipta kemenangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Penjaga gol Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pula menyifatkan kemenangan ke atas UiTM FC itu membuktikan The Bos Gaurus sanggup mengetepikan segala masalah di luar padang.

“Mengenai masalah tunggakan gaji tu semua orang dah tahu. Tetapi sebagai pemain profesional, kami ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan itu yang kami buktikan pada perlawanan menentang UiTM FC.

“Setiap pemain memberikan komitmen penuh di tengah padang dan lupakan masalah tunggakan gaji buat seketika. Kami sedar hanya dengan kemenangan mampu mengembalikan semangat setiap pemain.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini, apabila kami masuk ke bilik persalinan senyap sunyi, tetapi setelah menang dengan UiTM FC, suasana bilik persalinan berubah jadi riuh. Itulah yang sebenarnya yang kami mahukan sebab ia boleh naikkan mood masing-masing,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!