Jabatan Mufti Melaka agih buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia
MELAKA - Jabatan Mufti Melaka akan mengagihkan kira-kira 8,000 naskhah buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia secara berperingkat kepada agensi kerajaan mahupun individu.
Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil berkata, buku berjudul Ujian Kepada Manusia dan Peringatan ALLAH, Menghargai Masa Semasa Covid, Selepas Covid dan Mencuri Masa di Tempat Bekerja, Cara Solat Jumaat Semasa Covid itu ditulis oleh usahawan korporat, Datuk Muhammad Din Yusoh.
Menurutnya, buku yang merungkai pelbagai persoalan berkenaan implikasi dan hikmah pandemik itu akan diagihkan termasuk di surau mahupun masjid.
“Satu usaha yang bagus apabila buku yang diwakafkan kepada orang ramai menjadi medium menambah pengetahuan dan pengalaman serta nilai integriti ketika pandemik itu mula melanda tahun lalu.
“Saya yakin penulisnya akan menambahkan lagi bilangan buku tersebut sekiranya mendapat sambutan dan ini merupakan kolaboratif di antara penulis dan Jabatan Mufti Melaka,” katanya selepas pelancaran buku itu yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Polis Negeri, Datuk Majid Mohd Ali.Mengulas lanjut, beliau berkata, buku yang diwakafkan telah disemak oleh Jabatan Mufti Melaka untuk diagihkan kepada seluruh agensi termasuk ke peringkat masyarakat di negeri ini.
Melaka, Johor dan Negeri Sembilan merupakan negeri pertama di negara ini menerima buku yang diwakafkan dan diagihkan secara serentak menerusi kerjasama Jabatan Mufti negeri masing-masing.
“Banyak pengajaran yang boleh diambil melalui buku ini dalam kehidupan kita dan apa yang lebih penting ia merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan, hukum syarak dan ibadat buat pengajaran pembaca bagi menghargai musibah pandemik,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Din ketika ditemui berkata, buku yang ditulisnya bermula pertengahan Mac tahun lalu banyak memberikan pengajaran buat umat Islam tentang hukum-hakam ketika Covid-19 melanda negara.
“Kita akan membuat sebanyak tujuh cetakan bagi buku ini dengan anggaran lebih 100,000 naskhah akan diagihkan di negeri-negeri terpilih termasuk Pahang dan Brunei,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!