Enam 'orang dalam' godam sistem MyIMMs ditahan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat orang pekerja teknikal syarikat pembekal sistem dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem MyIMMs Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Penahanan empat individu berusia antara 35 tahun hingga 39 tahun membawa kepada penemuan beberapa komputer di Imigresen yang telah dilengkapi dengan peranti serta perisian penggodaman.

Menurut sumber, dua kakitangan Imigresen berusia 34 dan 42 tahun telah ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket dalam membantu menjalankan aktiviti penggodaman sistem tersebut.

"Dipercayai kesemua kakitangan tersebut turut menerima rasuah sebagai habuan kerana bersubahat dalam kegiatan ini.

"Rentetan daripada itu, beberapa perkakasan IT dan komputer telah disita dari pejabat Imigresen. Turut disita komputer riba dan External Hard Disk milik pekerja syarikat pembekal sistem yang digunakan bagi tujuan penggodaman sistem.

"Setakat ini, pihak SPRM telah mengenalpasti empat hotel ternama sekitar Kuala Lumpur yang dijadikan pusat operasi penggodaman," katanya pada Jumaat.

Sumber berkata, tangkapan terbaharu ini adalah lanjutan daripada operasi bersama Imigresen yang telah dilaksanakan pada Selasa di 22 lokasi di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah.

Sebelum itu, lima tangkapan telah dibuat terhadap ketua sindiket yang bergelar Datuk dan empat anggota sindiket termasuk seorang bekas pegawai Imigresen.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 147 akaun (30 individu dan 11 syarikat) berjumlah RM9,977,954.95 juta telah dibekukan.

Selain itu, dianggarkan sebanyak 30 unit hartanah berjumlah RM11,868,835 dan 66 buah kenderaan berjumlah RM13,691,847 telah disita serta dibekukan yang mana jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM25,560,682.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbaharu ini.

"Kami melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan yang amat serius kepada aspek keselamatan negara. Kesemua suspek akan disiasat dalam penglibatan mereka yg bersekongkol dalam menggodam sistem imigresen.

"Segala sudut undang-undang jenayah akan dilihat dalam penglibatan mereka ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!