UMT IPTA kedua tubuh PASKAM
SETIU - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi institusi pengajian awam (IPTA) kedua menubuhkan kursus kokurikulum Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) selepas Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kursus yang sepatutnya dilaksanakan pada 2020 di universiti terbabit terpaksa ditunda pada September depan akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, pengambilan pertama kursus itu akan disertai kira-kira 50 pelajar.
"Kita menyasarkan jumlah maksimum pelajar yang akan mengikuti kursus ini di setiap universiti sekitar 100 orang di mana pengambilan pertama dianggarkan seramai 50 pelajar.
"Kursus ini dijangka akan dilaksanakan di UMT pada hujung bulan Ogos atau awal September tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas program melabuhkan tukun vessel lucut hak sumbangan Maritim Malaysia Terengganu bagi aktiviti penyelidikan UMT di perairan Pulau Bidong pada Khamis.
Saiful Lizan menambah, anggota PASKAM akan ditauliahkan setelah menyertai program ini dalam tempoh dua tahun.
"Kewujudan PASKAM di IPTA bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai tanggungjawab Maritim Malaysia dalam menguatkuasakan undang-undang di perairan negara.
"Dari segi tugasan ia tidak meliputi tugasan hakiki sebaliknya lebih kepada pendedahan kepada Maritim Malaysia serta memenuhi keperluan silibus kokurikulum mereka," katanya.
Saiful Lizan berkata, beliau yakin latihan dan aktiviti yang diterapkan dalam PASKAM dapat membentuk para pelajar menjadi individu yang berdisiplin dari segi mental serta fizikal sebagai persediaan menjadi pemimpin pada masa hadapan.
"Kita harap pelajar yang mengikuti kursus berpeluang untuk diserapkan ke Maritim Malaysia kerana mereka telah menerima asas latihan dari masa ke masa ketika belajar di IPT tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!