2,576 kematian penunggang motosikal direkod
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 7,525 kemalangan jalan raya termasuk melibatkan 2,576 kematian penunggang motosikal dilaporkan di sepanjang tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, p-hailing yang penunggang motosikal turut menyumbang kepada sebahagian jumlah statistik tersebut.
"Apa yang lebih menyedihkan adalah kemalangan meragut nyawa penunggang ini merupakan golongan muda iaitu pelapis negara serta merupakan 'bread winner' kepada keluarga," katanya dalam ucapan Kempen Keselamatan Penunggang P- Hailing di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Pengerusi Miros, Datuk Suret Singh.
Menurutnya, berdasarkan kajian pemerhatian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati 70 peratus penunggang p-hailing menunjukkan tingkah laku berisiko pada waktu puncak.
"Antara kesalahan yang direkodkan ialah berhenti di petak kuning dan melanggar lampu merah selain menggunakan telefon mudah alih ketika menunggang," katanya.
Beliau berkata, menyedari hal itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk mendidik dan mengubah sikap semua penunggang yang terlibat.
"Kempen Keselamatan P-Hailing ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dengan kerjasama pihak penyedia perkhidmatan dalam meningkatkan kesedaran mengenai penunggangan motosikal dengan mematuhi peraturan jalan raya seterusnya mengurangkan risiko berlakunya kemalangan," katanya.
Ka Siong berkata, kempen keselamatan itu akan berjalan dalam tempoh enam bulan bermula April sehingga September depan.
"Antara aktiviti dan program yang dijadualkan adalah sesi jelajah ke seluruh negara bertujuan membuat hebahan kepada penunggang p-hailing dan orang awam mengenai pelaksanaan kempen," katanya.
Menurutnya, sesi taklimat dan peringatan pematuhan peraturan jalan raya dan aspek keselamatan jalan raya juga akan turut disampaikan oleh ketua kawasan kepada penunggang p-hailing.
"Ia akan dilakukan sebelum memulakan tugas dari masa ke semasa," katanya.
Beliau berkata, Miros juga akan menawarkan khidmat latihan penunggangan selamat kepada pengendali dan penunggang p-hailing.
"Latihan ini merangkumi keselamatan perjalanan, diagnostik ubah laku, pemeriksaan dan penyelenggaraan motosikal serta penunggangan defensif," katanya.
Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan agensi merancang untuk melaksanakan aktiviti bagi memberi peringatan secara langsung kepada semua penunggang motosikal semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat yang dilengkapi dengan CCTV serta sistem pembesar suara.
"Keberkesanan kempen akan dipantau dari masa ke masa melalui aktiviti pemerhatian dan tingkah laku penunggang p-hailing pula menerusi CCTV," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!