360,971 individu sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19

Sebanyak 360,971 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat Khamis. - Foto Bernama
Sebanyak 360,971 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 360,971 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat Khamis.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama seramai 558,750 telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 919,721.

Dr Adham menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 75,225, diikuti Sarawak (57,466), Perak (52,548), Sabah (52,322) dan Kuala Lumpur (51,100).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 48,493 individu diikuti Sabah (39,089), Perak (34,436), Kuala Lumpur (32,141) dan Sarawak (29,873).

Bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan setakat semalam seramai 8,309,480 atau 34.30 peratus telah mendaftar dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,237,971.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!