Bakal haji rayu subsidi kepada pengiring dikembalikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Seorang bakal jemaah haji dari Kampung Tian, Matu merayu Lembaga Tabung Haji (TH) mengembalikan pemberian subsidi kepada mereka yang memerlukan mahram untuk mengiringi anggota keluarga yang uzur semasa mengerjakan ibadat itu.

Menurut warga emas, Hassan Udin Telesai, dia terpaksa membayar kos penuh sebanyak RM22,900 untuk anak perempuannya yang akan mengiringi dia dan isteri menunaikan ibadat haji musim ini berikutan masalah kesihatan isterinya.

“Pada mulanya saya amat teruja apabila diberitahu anak saya boleh pergi bersama kami tetapi terkejut dengan kadar tambang yang dikenakan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Lelaki berusia 60-an itu berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Pejabat TH Sibu semasa dia ke sana untuk membuat rayuan agar anak perempuannya boleh mengiringi ibunya ke Tanah Suci.

Menurutnya pada musim-musim haji sebelum ini, kos bagi pengiring adalah sama dengan jemaah yang terpilih iaitu RM9,980.

Katanya, walaupun jumlah itu membebankan, dia dan isteri tidak mempunyai pilihan terpaksa mengeluarkan wang simpanan bagi membolehkan anak perempuan mereka ikut serta.

Menurut Hassan, isterinya yang berusia 70 tahun menghidap penyakit hempedu bernanah serta batu karang dan perutnya terpaksa ditebuk serta dipasang hos dan beg bagi mengeluarkan nanah.

TH pada Khamis dilaporkan berkata, subsidi haji dikekalkan untuk jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama pada musim ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!