Muafakat Nasional bukan penyatuan politik

Dari kanan: Noor Nirwandy, Mohd Razlan, Khairul Nadzir dan Ismail ketika Wacana Sinar Harian Siri ke-246 bertajuk ‘PN atau MN: Mana satu pendirian Pas' disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.
Dari kanan: Noor Nirwandy, Mohd Razlan, Khairul Nadzir dan Ismail ketika Wacana Sinar Harian Siri ke-246 bertajuk ‘PN atau MN: Mana satu pendirian Pas' disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyatuan Muafakat Nasional (MN) bukan datang daripada sudut perjanjian politik semata-mata, sebaliknya lahir daripada kebangkitan orang Melayu yang ditindas.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, beliau percaya orang Melayu juga tidak boleh bersatu di bawah satu bumbung sekiranya permuafakatan itu hanya dibuat melalui sudut politik.

Beliau berkata, MN lahir apabila orang Melayu mahu melihat UMNO dan Pas bersatu selepas menyedari mereka sudah hilang kuasa, dihina dan hak keistimewaan mereka diusik.

"Kita kena tahu bahawa (permuafakatan) UMNO dan Pas berlaku apabila orang Melayu di bawah ini bangkit untuk melihat kita bersama disebabkan kita sudah kalah.

"Orang Melayu pada ketika itu dihina, dicerca dan (Institusi) Raja dan perlembagaan kita diusik. Justeru itu kita bangkit.

"Kita berkumpul dalam perhimpunan menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

"Kita kumpul tanpa melihat siapa akan bercakap, siapa mendahului, siapa di pentas. Kita habiskan semua itu sebabnya pada ketika itu kita tak mahu lagi orang Melayu dan orang Islam dipijak di bumi sendiri.

"Justeru, kebangkitan ummah itu dimulai dari segi sudut penyatuan ummah dari bawah," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-246 bertajuk ‘PN atau MN: Mana satu pendirian Pas' disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Wacana itu turut menampilkan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar dan penganalisis keselamatan dan politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin juga sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Mohd Razlan berkata, penyatuan orang Melayu termasuk ketika zaman Malayan Union dahulu juga tidak diwujudkan kerana kepentingan atau kuasa politik semata-mata.

"Maksud saya, kena faham bahawa penyatuan ini (MN) digerakkan oleh orang-orang Melayu di bawah sana.

"Ini kita perlu hormatkan, mesti kita letakkan satu titik penghormatan paling tinggi kepada orang Melayu di bawah," katanya.

Tambah beliau, UMNO dan Pas pernah mencuba membentuk penyatuan politik ketika zaman Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bagaimanapun tidak berjaya.

"Tetapi yang berjaya (ialah) penyatuan ummah di ICERD, Statut Rom, medan berpentas bersama, berceramah di dalam ceramah-ceramah MN atau penyatuan ummah.

"Itulah sebabnya kita kena tahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini datang kemudian. Dia (Bersatu) datang dari segi sudut perjanjian politik.

"Melayu ini tidak boleh bersatu dalam satu bumbung jika sekiranya kita buat dari sudut perjanjian politik. Bila kita buat perjanjian politik, kita akan bergaduh sesama sendiri. Kita akan cakap itu, kita akan cakap ini. Orang itu cakap itu hak dia, orang itu cakap ini hak dia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!